Saturday, October 1, 2022

Nikmat Yang Perlu Dimanfaatkan


Allah SWT mengurniakan pelbagai nikmat kepada kita. Menjadi tanggungjawab kepada setiap daripada kita untuk mensyukuri segala nikmat yang dianugerahkan.

Kebiasaan manusia hanya ingat kepada Allah apabila ditimpa kesusahan dan kesulitan, semasa senang mereka sering alpa untuk mensyukurinya. Rasulullah SAW mengingatkan:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ

Daripada Ibnu Abbas RA dia berkata; Nabi SAW bersabda: "Dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia adalah kesihatan dan waktu lapang." (HR Bukhari No: 5933) Status: Hadis Sahih

Kebanyakan manusia lupa menggunakan sebaiknya nikmat kesihatan dan waktu lapang. Penyesalan tidak berguna bila telah sakit dan usia semakin pendek.

Perlu diingat bahawa nikmat sihat dan waktu lapang yang dimiliki mungkin akan berkurang atau hilang sama sekali dari diri kita.

Ibnu Baththol berkata, barangsiapa memiliki dua nikmat ini (waktu lapang dan nikmat sihat), hendaklah ia mensyukurinya dengan melaksanakan segala perintah dan menjauhi setiap larangan Allah. Barangsiapa yang tidak bersyukur, maka dialah orang yang tertipu.

Ibnul Jauzi berkata: Dunia adalah ladang beramal untuk menuai hasil di akhirat kelak. Dunia adalah tempat kita menjaja barang dagangan, sedangkan keuntungannya akan diraih di akhirat nanti. Barangsiapa yang memanfaatkan waktu lapang dan nikmat sihat dalam rangka melakukan ketaatan, maka dialah yang akan berbahagia. Sebaliknya, barangsiapa memanfaatkan keduanya dalam maksiat, dialah yang tertipu.

Ibnu Mas’ud pula berkata; Aku sangat benci orang yang menganggur, iaitu tidak beramal untuk penghidupan dunianya dan akhiratnya.

Semoga Allah selalu memberi kita taufik dan hidayah-Nya untuk memanfaatkan dua nikmat ini dalam ketaatan. Semoga kita tidak termasuk orang-orang yang tertipu dan terperdaya.

#SuburkanAmalanMantapkanKeperibadian
https://t.me/kapsul_tazkirah

No comments: