Wednesday, September 20, 2023

Amalan terbaik. sedikit tapi berterusan.


 

 

[Masa Bacaan : 3 minit]


Assalamualaikum Tuan/Puan,

Kita mesti selalu tertanya-tanya apakah amalan yang paling baik di sisi Allah kan?

Dalam 1 hadis daripada Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda

أَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ

“Amalan yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala adalah amalan yang berterusan walaupun jumlahnya sedikit.” 


(HR. Bukhari, no. 6465) Status: Hadis Sahih

 

Dalam riwayat yang lain, Nabi SAW bersabda,

يَا أَيُّهَا النَّاسُ خُذُوا مِنْ الْأَعْمَالِ مَا تُطِيقُونَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يَمَلُّ حَتَّى تَمَلُّوا وَإِنَّ أَحَبَّ الْأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ مَا دَامَ وَإِنْ قَلَّ

“Wahai sekalian manusia, beramallah sekadar kemampuan kamu, bahawasanya, Allah tidak akan berasa jemu sehingga kalian merasa jemu. Dan sesungguhnya amalan yang paling dicintai Allah adalah amalan yang dikerjakan secara berkekalan walaupun sedikit.”


(HR Bukhari No: 5413) Status: Hadis Sahih.

 

  1. Jadi, janganlah kita khuatir jika tidak dapat melakukan amalan yang banyak seperti orang lain. Kerana dalam hadis di atas jelas menunjukkan amalan yang paling dicintai Allah terhadap hambanya adalah yang dilakukan secara berterusan walaupun jumlahnya sedikit.
  1. Lakukan amal baik berterusan walaupun sedikit. ’Alqomah pernah bertanya pada Ummul Mukminin ’Aisyah, ”Wahai Ummul Mukminin, bagaimanakah Rasulullah SAW beramal? Apakah baginda mengkhususkan hari-hari tertentu untuk beramal?” ’Aisyah menjawab,

لاَ. كَانَ عَمَلُهُ دِيمَةً وَأَيُّكُمْ يَسْتَطِيعُ مَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَسْتَطِيعُ

”Tidak. Amalan beliau adalah amalan yang berterusan (rutin). Siapa saja di antara kalian pasti mampu melakukan yang baginda lakukan.”(HR. Muslim no. 783)

  1. Imam Nawawi mengatakan, ”Ketahuilah bahawa amalan yang sedikit namun berterusan dilakukan, itu lebih baik dari amalan yang banyak namun cuma sesekali saja dilakukan. Amalan sedikit yang rutin dilakukan akan memudahkan amalan ketaatan, zikir, pendekatan diri pada Allah, niat dan keikhlasan dalam beramal, juga akan membuat amalan tersebut diterima Allah. Amalan sedikit yang rutin dilakukan akan memberikan ganjaran yang besar dan berlipat dibandingkan dengan amalan yang banyak namun sesekali saja dilakukan.”(Syarh An Nawawi ‘ala Muslim, 3/133)

Sebenarnya, amalan yang sedikit tetapi berterusan akan mampu mencegah kita dari perasaan penat dan malas dalam beramal. 

Ayuh kita istiqamah melaksanakan amal solleh walaupun ianya sedikit.





No comments: