Thursday, September 21, 2023

OBSESI DIRI


PAHROL MOHD JUOI
https://t.me/notahatiustazpahrol

Seorang tuan guru berkata kepada beberapa murid kanannya, “Aku ingin melihat sejauh mana masyarakat percayakan aku.”

”Bagaimana caranya tuan guru?” tanya anak-anak muridnya itu.

”Kau sebarkan berita bahawa akan muncul seekor binatang besar di hujung kampung kita pada hujung minggu ini!”

Tanpa banyak soal, anak-anak muridnya pun ke luar ke seluruh pelusuk kampung menyebarkan berita yang apa yang tok guru mereka ramalkan.

“Sebesar mana?” tanya orang kampung.

“10 kali ganda seekor gajah,” jawab seorang anak murid itu.

Setinggi mana? Setinggi bukit agaknya.Lagi? Matanya bersinar merah. Nafasnya berapi-api.” 

Yang sejengkal jadi sehasta, yang sehasta menjadi sedepa. Dari mulut ke mulut berita muncul binatang besar itu menjadi tambah sensasi.

Bila tiba hujung minggu, seluruh penduduk kampung keluar untuk menanti kemunculan binatang besar itu. Mereka berarak ke hujung kampung beramai-ramai. Begitu meriah sekali. Bersorak dan melonjak-lonjak, seakan berpesta.

Ironinya, si tuan guru itu turut serta dalam perarakan.
Seorang muridnya bertanya, “Tuan guru pun ikut serta dalam perarakan ini?”

“Kenapa, apakah tak boleh?”

“Bukankah tuan guru hanya mengada-ngadakan berita tentang kemunculan binatang besar ini?”

“Ya, begitulah pada mulanya. Tetapi apabila ramai orang mula mempercayainya dan bersedia... terfikir pula olehku, manalah tahu berita ini benar-benar akan terjadi?”

Murid-muridnya kehairanan. Mereka benar-benar takjub, apakah berita tipu yang dicanangkan oleh tok guru itu turut juga menipu tok guru itu sendiri? Pelik!

Pengajaran: Takjub pada diri sendiri menyebabkan ramai orang buta pada kebenaran. Takjub menjadi taksub.

Sentiasa ada justifikasi yang datang dari dalam diri sendiri untuk mentafsirkan sesuatu mengikut apa yang diingini terjadi dengan menafikan realiti.

Sudah hitam, masih dikatakan putih. Hanya kerana ego dan obsesi diri.


No comments: