|
Suatu hari Nabi ﷺ membeli seekor kuda daripada seorang lelaki Arab Badui. Baginda ﷺ memerintahkan lelaki itu untuk mengikutinya sehingga baginda membayar harga kuda tersebut.
Namun, Nabi ﷺ berjalan dengan cepat, sementara lelaki Badui itu berjalan perlahan. Dalam perjalanan, beberapa orang bertemu lelaki Badui itu dan menawarkan harga untuk kuda tersebut tanpa mengetahui bahawa Nabi ﷺ telah membelinya. Salah seorang daripada mereka menaikkan tawaran harga lebih tinggi daripada yang telah disepakati dengan Nabi ﷺ.
Melihat keadaan sebegitu, lelaki Badui itu memanggil Nabi ﷺ dan berkata: “Jika engkau mahu membeli kuda ini, belilah sekarang, jika tidak, aku akan menjualnya kepada orang lain.”
Nabi ﷺ pun berhenti dan datang kepada lelaki itu. Baginda berkata: “Bukankah aku telah membelinya daripadamu?”
Lelaki itu menjawab: “Tidak, demi Allah, aku tidak menjualnya kepadamu!” Nabi ﷺ berkata: “Ya, aku telah membelinya daripadamu.”
Orang ramai mula mengerumuni Nabi ﷺ dan lelaki Badui itu sementara mereka berdebat. Lelaki Badui itu terus berkata: “Tunjukkan saksi yang dapat membuktikan bahawa engkau telah membelinya!”
Beberapa orang Muslim yang hadir berkata kepada lelaki Badui itu: “Binasalah kamu! Rasulullah ﷺ tidak pernah berkata melainkan yang benar.”
Kemudian datanglah Khuzaimah bin Thabit, yang mendengar perdebatan antara Nabi ﷺ dan lelaki Badui itu.
Lelaki Badui itu terus menyuruh Nabi: “Bawakan saksi yang dapat membuktikan bahawa aku telah menjualnya kepadamu!”
Khuzaimah spontan berkata: “Aku bersaksi bahawa engkau telah menjualnya kepada Rasulullah ﷺ.”
Rasulullah ﷺ berpaling kepada Khuzaimah bin Thabit dan bertanya: “Bagaimana kamu boleh bersaksi?”
Khuzaimah menjawab: “Dengan mempercayai engkau, wahai Rasulullah.”
Maka Rasulullah ﷺ menetapkan bahawa kesaksian Khuzaimah bersamaan dengan kesaksian dua orang sahabat Nabi yang lain. Sejak hari itu, Khuzaimah bin Thabit digelar Zu al-Syahadatain (Pemilik Dua Kesaksian)
Radhiallahu ‘anhu.
📝 Admin Al-Balazuri
📆 251124
No comments:
Post a Comment