Wednesday, October 1, 2025

Mavi Marmara dalam kenangan

بسم الله الرحمن الرحيم Assalaamu Alaykum Wa Rahmatullaahi Wa Barakaatuh اللهم صل على محمد وآل محمد

Kisah Mavi Marmara mungkin tidak sepopular Titanic. Namun ia wajar dikongsi, agar dunia tahu sejarah di sebalik misi Freedom Flotilla ke 🍉 

Mavi Marmara bukanlah kapal perang. Ia hanyalah sebuah ferry penumpang Turki sepanjang 93 meter, dibina untuk membawa seribu orang merentasi Selat Bosphorus. 

Pada Mei 2010, ia menyertai misi Freedom Flotilla, misi enam kapal antarabangsa yang membawa lebih 10,000 tan bantuan kemanusiaan ubat-ubatan, bahan binaan, makanan untuk 🍉 yang disekat.

Mavi Marmara menjadi kapal utama. Di atasnya, lebih 600 aktivis dari 36 negara, termasuk doktor, wartawan, ahli politik dan sukarelawan biasa. Mereka tidak bersenjata, hanya berbekal semangat kemanusiaan.
.

Peristiwa Subuh 31 Mei 2010
Kira-kira jam 4.30 pagi, ketika ramai masih tidur, helikopter dan bot laju musuh mengepung flotilla di perairan antarabangsa, 70–80 batu nautika dari 🍉

Tiba-tiba, enjin helikopter meraung dari langit. Dari arah laut, bot-bot laju mengepung. Lampu sorot menembusi wajah aktivis yang terpinga. Komando berpakaian hitam turun dari tali.

Dalam sekelip mata, letupan dan peluru menyalak. 

Aktivis bertakbir  “Allahu Akbar!” sambil cuba bertahan dengan hos air, kerusi, besi paip apa sahaja yang sempat dicapai. Tetapi darah segera membasahi dek, bercampur dengan air laut yang memercik.

Di tengah kekalutan itu, seorang anak muda berusia 19 tahun, Furkan Doğan, sedang merakam dengan kamera kecil di tangannya. Dia bukan pejuang bersenjata, hanya seorang pelajar Turki-Amerika yang mahu menjadi saksi sejarah.

Dia ditembak lima kali di dada, muka dan belakang kepala. Tubuhnya rebah di dek, kameranya terjatuh, namun wajahnya tetap dikenang.

Pada hari itu, 9 orang gugur syahid, seorang lagi meninggal dunia kemudian akibat kecederaan parah.
.

Tembakan sudah reda. 

Dek kapal penuh darah, tubuh syuhada bergelimpangan. Yang masih hidup digari seorang demi seorang. Ada yang kepalanya dipukul dengan popor senjata, ada yang ditolak jatuh ke lantai.

Di pelabuhan Ashdod, aktivis diseret turun dari kapal. Jeritan arahan dalam bahasa yang mereka tidak faham bergema. Telefon, kamera, laptop semua dirampas. Bukti disapu bersih. Hanya beberapa rakaman sempat diseludup keluar, menjadi saksi dunia.

Dalam tahanan, mereka disumbat ke dalam sel sempit. Ada yang dipukul kerana bertanya, ada yang diugut senjata ketika cuba merawat sahabat yang cedera.

Tiga hari. Bagi mereka, terasa seperti tiga tahun. Tidak tahu sama ada akan bebas, atau hilang begitu sahaja di penjara. 

Akhirnya, kerana tekanan dunia, pintu besi itu terbuka. Satu demi satu mereka dihantar pulang Tubuh mereka selamat, tapi hati mereka tidak pernah kembali sama.

.

Selepas subuh berdarah 31 Mei 2010, Turki berdiri paling lantang. Bendera musuh diturunkan di Ankara, hubungan diplomatik diputuskan. Ribuan rakyat berarak di Istanbul, melaungkan nama syuhada Mavi Marmara.

Mahkamah Turki segera membuka kes. Tahun 2012, empat jeneral musuh didakwa atas tuduhan jenayah perang. Hakim mengeluarkan waran tangkap antarabangsa. Dalam dewan mahkamah, keluarga mangsa menangis lega akhirnya ada negara yang membela
.

Harapan yang Dipatahkan

Namun politik bergerak lebih laju daripada undang-undang. Tahun 2016, selepas enam tahun ketegangan, Ankara dan musuh duduk semeja. Tekanan ekonomi, strategi serantau, dan krisis di Syria membuat Turki memilih normalisasi.

Perjanjian ditandatangani:
 • Musuh bersetuju bayar pampasan USD 20 juta kepada keluarga mangsa.
 • Sebagai balasan, kes mahkamah digugurkan.
 • Hubungan diplomatik dipulihkan.

Bagi rakyat Turki, Mavi Marmara bukan sekadar kapal. Ia adalah luka terbuka bagaimana anak muda mereka, doktor, wartawan, sukarelawan biasa ditembak di laut antarabangsa kerana membawa roti dan ubat.

Mereka melihat jenazah dibawa pulang dengan balutan bendera, tetapi bertahun-tahun kemudian, mereka juga melihat kes-kes mahkamah gugur di meja rundingan. Harapan untuk keadilan ditukar dengan lembaran diplomasi.

Itulah luka yang masih berdenyut hingga kini. Luka yang membuat nama Mavi Marmara sentiasa disebut, setiap kali kapal bantuan menuju 🍉
.

Kurang daripada 24 jam, misi Sumud Flotila akan tiba menghampiri 🍉

Jika anda membuka aplikasi vessel tracker, anda akan melihat titik-titik kapal flotila bergerak di Laut Mediterranean. Dan di peta yang sama, di koordinat yang pernah berlumuran darah, di situlah dahulu Mavi Marmara diserang.

📌 Semoga kali ini, kapal-kapal itu tiba dengan selamat. Doa anda semua mengiringi semua sukarelawan misi flotilla

No comments: