Wednesday, June 29, 2011

Kahwin Lambat Jangan Anggap Diri Malang-Dr, Tuah Iskandar

Bismillahirrahmanirrahim

Apabila kanak-kanak perempuan semula jadinya suka bermain anak patung, itu tandanya sifat keibuan telah bermula sedari awal. Jadi naluri untuk berkahwin sebenarnya adalah semula jadi juga, cuma usia yang terlalu rendah membuatkan mereka tidak memahami bagaimana seseorang itu menjadi hamil kemudian melahirkan anak.

Apa yang mereka tahu, alangkah seronoknya jika ada anak sendiri. Sebab itu, meskipun seorang kanak-kanak berusia lima tahun, dia tahu untuk memandikan anak patungnya itu, memakaikan lampin serta memujuk apabila konon-kononnya anak patung itu menangis.

Jadi, apabila seseorang perempuan itu semakin membesar, naluri untuk berkahwin ini turut sama berkembang, hinggalah ia menjadi realiti suatu masa nanti. Andainya tidak, naluri ini terus ada di situ kerana ia adalah semula jadi. Tidak benar menafikan keinginan untuk berkahwin. Apa yang sebenarnya adalah disebabkan pelbagai hal yang tiada kuasa mengatasinya seperti tiada jodoh, terlalu sibuk mengejar cita-cita atau tidak yakin perkahwinan boleh memberi kebahagiaan, namun keinginan itu tetap ada.

Sebenarnya, tidak mengapa lambat kahwin jika memang ada sesuatu yang ingin dicapai. Perkahwinan pun bukan semestinya menjanjikan kebahagiaan, kemewahan dan kesempurnaan hidup. Amat banyak sekali perkahwinan adalah petaka kehidupan di mana di situlah bermulanya sejarah-sejarah tragis yang terpaksa ditempuh.

Bukan trend melewatkan perkahwinan, terutama dalam kalangan wanita berpendidikan tinggi tetapi ia adalah suatu keadaan yang kadang-kadang terpaksa ditempuh mengikut kesesuaian yang ada. Jadi, usah terlalu desperate andainya keadaan ini berlaku kepada anda. Bukanlah terlalu buruk tidak lagi berkahwin pada usia yang agak lanjut. Menganggap diri sebagai malang oleh situasi ini adalah salah.

Pastikan Bersedia
Memanglah trend lambat kahwin merencatkan institusi kekeluargaan serta memberi kesan yang lembap pada pembangunan sosial, ekonomi dan politik negara tetapi tergesa-gesa berkahwin tanpa persediaan mental yang cukup selalunya menjadi sebab pada kehidupan yang keliru. Adalah silap mengambil sesiapa sahaja untuk menjadi pasangan asalkan berkahwin hingga melupakan aspek-aspek seperti kufu dan lain-lain, sebab apalah gunanya perkahwinan hanya untuk menempuh hal-hal yang tidak beres.

Andainya sebelum itu seorang yang amat bahagia tetapi setelah berkahwin terpaksa menempuh pelbagai hal hingga akhirnya ke neraka, bukankah itu rugi. Perkahwinan adalah suatu tiket mudah untuk wanita memasuki syurga, tetapi andainya ia membawa kesusahan dunia untuk dibawa ke akhirat ia bukanlah menarik untuk dilalui.

Di samping menjanjikan kenikmatan, perkahwinan juga datang bersama-sama kesusahan. Daripada golongan bangsawan hinggalah rakyat jelata, perkahwinan ada pelbagai bentuk dan coraknya. Memang ada yang lebih banyak bahagia sedikit derita tetapi banyak juga yang banyaknya derita dan sedikit bahagianya, namun kesemuanya itu ada derita bukan?

Maka, jika tidak mampu bersedia dengan kekuatan emosi, lebih-lebih jika miskin pengetahuan agama, lalu mengukur setiap hal dalam rumah tangga melalui akal semata-mata, ia pasti akan menyulitkan keadaan.

Jadi, apakah nasihat yang sebaik-baiknya? Pertama, pastikan anda benar-benar bersedia. Persediaan ini adalah segala-galanya terutama mental, fizikal dan spiritual. Kedua, anda benar-benar cinta, kalaupun tidak cinta sepenuhnya letaklah azam dalam hati untuk benar-benar mencintai apabila berkahwin kelak sebab kecintaan yang longgar inilah antara sebab ramainya orang ada cinta gelap meskipun setelah beranak pinak bahkan bercucu.

Ketiga, ilmu agama secukupnya. Banyak masalah dalam kehidupan rumah tangga pasti selesai jika kedua-duanya faham agama. Kalau tidak kedua-duanya salah seorang pun memadailah. Berkahwin itu penting, namun ia kerap menjadikan orang melenting oleh isu yang tidak penting.

No comments: