Monday, April 15, 2013

Mac donald memang halal dimakan.... tetapi......

بسم الله الرحمن الرحيم
 Assalaamu Alaykum Wa Rahmatullaahi Wa Barakaatuh
 اللهم صل على محمد وآل محمد





Makanan yang dijual di McDonald adalah halal. Tiada siapa yang mengatakan ianya haram. Bahkan Prof Dr Yusuf Qardhawi yang menggesa supaya umat Islam dan warga dunia supaya menghindari produk yang menyokong Israel tidak pernah mempertikai status halalnya makanan yang dijual di premis-premis seperti di McD. Makanlah kerana ia dijamin oleh JAKIM dan mempunyai status halal dari JAKIM yang sah. Namun ada persoalan yang lebih besar bagi seorang muslim dari sekadar halal haramnya makanan. Bahkan status halal dan haram dalam makanan pun tidak mutlak sifatnya. Dalam keadaan tertentu (yg tidak biasa) makanan yang hukum asalnya haram boleh bertukar 'admissible' atau dibenarkan terutama dalam keadaan terdesak/cemas. Berdasarkan maqasid syariah oleh kerana memelihara nyawa ini satu persoalan yang penting maka jika makanan yang hukum asalnya haram dibolehkan untuk menyelamatkan nyawa dari mati kebuluran (makan cukup sekadar untuk meneruskan kehidupan).

 Mari kita lihat status Israel pula dari sudut hukum. Israel ini merupakan negara haram bukan sahaja dari sudut politik (kerana didirikan di atas negara orang lain yang dirampas) bahkan haram dari sudut syara'. Keharamannya pulak mutlak dan tidak tertakluk kepada perubahan situasi. Walauapapun situasinya status Israel tetap haram. Dalam katanya menyokong, membantu, bersahabat apatah lagi mengiktiraf hukumnya haram. Dan haramnya Israel ini bukan semenjak ianya berdiri sejak tahun 1948, bahkan bibit-bibitnya juga diharamkan ketika ada usaha untuk mendirikannya melalui cara-cara yang licik dan tipu daya. Apabila Deklarasi Balfour diluluskan pada tahun 1917, maka pendatang Yahudi menggunakan pelbagai cara untuk mendirikan negara Yahudi dengan cara membeli tanah dari tuan tanah samada secara gadaian setelah tidak mampu membayar hutang kpd si penghutang bangsa Yahudi atau diletakkan tawaran harga yang tinggi, atau diambil alih begitu sahaja dari tuan tanah yang absentee (yang tidak dapat dikesan). Keadaan ini menjadi semakin berleluasa sehingga Al-Haj Amin Husaini mufti Palestin memanggil satu persidangan yang melibatkan ulama Islam dari Maghribi sehingga Pakistan untuk membuat satu ketetapan (fatwa) berkaitan urusan ini.

 Akhirnya persidangan yang berlangsung pada tahun 1935 ini memutusakn sesiapa sahaja yang menjual tanah mereka kepada pendatang Yahudi Zionis dan sesiapa juga memudahcara sebagai broker atau yang mengambil komisen maka putuslah (hubunganya) dengan umat Islam hatta dengan adik-beradik, suami isteri bahkan ibu bapa sekalipun. Matinya tidak diurus secara Islam dan tidak akan dikuburkan di perkuburan Islam. Hukum ini terpakai juga kepada sesiapa yang redha dengan jual beli bahkan mereka tidak berbuat apa-apa meskipun mampu untuk menghalangnya. Pada tahun 1935 sudah ada fatwa yang sangat tegas dalam menjayakan agenda penubuhan negara Yahudi. Pastinya mengiktiraf negara Israel pada hari ini boleh dirujuk pada fatwa yang sama. Jika mereka yang memudahcara penjualan tanah kepada pendatang yahudi zionis tidak terkecuali dari fatwa ini bagaimana pula dengan mereka yang membantu dan menyokong negara Israel yang telah wujud sejak hampir 65 tahun yang lalu. Lamanya masa tidak mengubah hukum. Sebagaimana Baitul Makdis yang diistiharkan oleh Saydina Umar pada tahun 637M sebagai tanah wakaf bagi muslimin seluruhnya tetap sah walaupun sudah berlalu 1400 tahun yang lalu.

 Jadi seruan boikot kpd produk yang sokong Israel yang nyata seperti McDonald tidak menyentuh soal halal haram makanan. Tetapi ia menyentuh soal yang lebih besar - soal yang lebih fundamental iaitu berkaitan dengan tuntutan akidah. Musuh Israel wajib diperangi dengan apa jua cara sekalipun. Soal aqidah dan menyatakan wala' (kesetiaan) kepada Allah, rasul dan orang-orang beriman jauh lebih besar dari soal halal haram makanan. Jika makanan yang haram boleh jadi admissible dan permissible (dibenarkan) dalam keadaan yang tertentu, tetapi status haramnya Israel tidak akan ada perubahan hukum, ia tetap haram dan menyokongnya tetap haram samada secara langsung atau tidak. Ia berada pada tahap yang lebih tinggi dalam maqasid syariah (sebab dan tujuan agama iaitu untuk menjaga 5 perkara; aqidah, nyawa, keturunan, akal, dan harta). Soal Israel ialah soal aqidah dan menjaga aqidah tidak ada tolak ansur mesti nyawa galang gantinya.

 Semoga persoalan boikot barangan Israel ini difahami. Ia langsung bukan berkaitan halal-haramnya makanan. Tetapi ia menyentuh isu yang lebih besar yang ada kaitannya dengan menjaga agama dan kesejahteraan akidah umat Islam.

 Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
 Pengerusi Aqsa Syarif Berhad

 Rujukan asal fatwa: Al-Wathaiq al-Harakah al-Wataniah al-Filastiniah 1917 – 1939 Min Auraq Akram Zu’aitar Beirut Muasassah ad-Dirasat al-Filastiniah 1984. hlm 381 - 391

 -AKA-

No comments: