Tuesday, November 26, 2013

Dah sedia untuk laluan titian sirat.....

بسم الله الرحمن الرحيم
Assalaamu Alaykum Wa Rahmatullaahi Wa Barakaatuh
 اللهم صل على محمد وآل محمد




by Tuan Guru Dato'Dr Haron Din

Sesungguhnya pemeriksaan amalan di Padang Mahsyar belum lagi sempurna sehingga seseorang itu diperiksa atau ditanya mengenai nikmat dan amalannya di tempat pemeriksaan sewaktu melalui Siratul Mustaqim atau Titian Sirat.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Dan tiada seorangpun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya (Neraka Jahannam) (yang demikian) adalah satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu." (Surah Mariam ayat 71)

Imam Al-Nawawi di dalam kitab Syarah-Muslim menulis, ulama besar menetapkan bahawa sirat itu ialah satu titian di atas permukaan api Neraka Jahanam di mana semua manusia akan meniti.

Dari Abi Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda tentang As-Sirat: "...dan padanya (As-Sirat) ada cangkuk atau pengait yang berduri seperti duri As-Sa'daan melainkan tidak mengetahui kadar besarnya melainkan Allah; mengait manusia mengikut amalan mereka" (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Abi Said Al-Khudriy r.a berkata: "Telah sampai kepadaku bahawa ianya (As-Sirat) lebih halus dari rambut dan lebih tajam dari pedang" (Hadis Riwayat Muslim)

Nabi Muhammad s.a.w sendiri pernah bersabda bahawa "Sesungguhnya Allah menciptakan Sirat yang berada diatas Neraka, iaitu Jambatan ditengah-tengah Neraka Jahanam yang sangat licin dan menggelincirkan. Jambatan ini mempunyai tujuh sekatan, dan setiap sekatan jaraknya sama dengan perjalanan 3000 tahun. Dalam 3000 tahun itu, 1000 tahun merupakan tanjakan yang tinggi, 1000 tahun merupakan dataran, dan 1000 tahun merupakan lereng yang curam. Ia lebih kecil dari rambut, lebih tajam dari pedang dan lebih gelap berbanding malam yang pekat. Setiap sekatan mempunyai 7 cabang, dan setiap cabang bentuknya seperi panah yang hujungnya tajam. Maka, duduklah setiap hamba diatas setiap sekatan tersebut dan ditanya tentang perintah-perintah Allah s.w.t"

No comments: