Saturday, August 8, 2015

Cinta bersemi di balik jeriji

بسم الله الرحمن الرحيم Assalaamu Alaykum Wa Rahmatullaahi Wa Barakaatuh اللهم صل على محمد وآل محمد



By ustazah Maznah Daud
Aminah Qutub adalah seorang penulis dan penyair wanita hebat yang dilahirkan di bumi Mesir yang berkat.
Merupakan adik kandung kepada dua orang pemikir terkenal Sayyid Qutub dan Muhammad Qutub.
Dilahirkan dan dibesar di dalam suasana keagamaan yang kukuh di sebuah daerah di negeri Mesir, keluarga Qutub Ibrahim dan isterinya seorang wanita solihah yang mengambil berat tentang pendidikan anak-anak berlandaskan ajaran Islam.
Kisah cinta Aminah merupakan satu kisah yang menakjubkan, yang jarang-jarang kita dengar kecuali di dalam cerita-cerita khayal.
Cinta bertaut ketika jejaka, Kamal as-Sananiri meringkuk di dalam penjara. Mengimbau kisah cintanya, Aminah berkata: sesungguhnya jalinan cinta ini merupakan kemuncak kepada perlawanan ke atas diktator zalim yang mahu menghapuskan pendakwah dengan membunuh mereka atau membiarkan mereka menghabiskan seluruh usia di dalam penjara. As-Syahid Kamal as-Sananiri telah ditangkap dan dipenjarakan pada tahun 1954. Dia dibicarakan di mahkamah olok-olok bersama anggota Ikhwan yang lain dan dijatuhi hukuman bunuh. Kemudian diringankan kepada hukuman penjara sepanjang hayat (25 tahun) dengan kerja berat.
Selepas meringkuk di dalam penjara selama lima tahun, dia dibawa ke hospital penjara Liman Toroh untuk mendapat rawatan. Di situ dia terserempak dengan abang Aminah, asy-Syahid Sayyid Qutub. Lantas dia melamar Aminah. Sayyid menyampaikan hasrat jejaka yang dihukum penjara sepanjang hayat itu kepada adiknya. .Aminah terus bersetuju tanpa teragak-agak meskipun dia harus menunggu selama 20 tahun lagi, tempoh yang perlu dihabiskan oleh Kamal di dalam penjara. Aminah meminta alamat Kamal di dalam penjara. Dia pergi menziarahinya untuk bertaaruf dan melihat wajahnya sebagaimana yang disunatkan, kemudian berlakulah aqad nikah; seorang di luar dan sorang lagi di dalam peenjara. Hubungan mereka selepas itu hanyalah melalui surat dan ziarahnya sekali sekala. Itulah yang menguatkan azam dan memantapkan pendiriannya bersama Ikhwan di dalam kurungan. Sungguh Aminah benar-benar mengajar kita erti cinta sejati yang tidak boleh dihalang oleh apa jua rintangan. Contoh pengorbanan yang tiada taranya. Dia seorang gadis remaja yang mempunyai banyak pilihan. Tiada siapapun yang memaksanya untuk memilih lelaki yang tidak dapat memberikan apa-apa kepadanya sebagai suami. Tiada siapapun yang memaksanya menunggu lelaki itu selama 20 tahun, bukan 20 hari atau 20 bulan.
Dia melihat pada jejaka yang terpenjara itu mentari harapan, cahaya kemenangan dan keyakinan kepada janji Allah s.w.t., melihat cahaya yang terang di hujung terowong, yakin bahawa ini pilihan Allah yang terbaik buatnya.
Suatu ketika, Aminah datang menziarahi suaminya ditemani oleh adik iparnya (adik perempuan suaminya). Si adik menceritakan kesusahan yang mereka terpaksa lalui sebelum sampai ke penjara. Dari Kahirah menaiki kereta api, kemudian terpaksa berhadapan dengan kerenah pengawal-pengawal sebelum dapat masuk bertemu dengan abangnya. Mendengar luahan hati adiknya, Kamal berkata dengan penuh simpati kepada isterinya yang setia luar biasa itu: "Sesungguhnya telah lama masa berlalu. Aku tidak sanggup membiarkan kamu menanggung kesusahan begini. Sebagaimana aku telah katakan pada awal pertemuan dulu, mungkin aku akan keluar esok atau mungkin 20 tahun lagi atau mungkin ajalku akan tiba di sini. Sekarang kamu bebas membuat keputusan yang kamu rasakan lebih baik untuk masa depanmu. Aku tidak redha diriku menjadi penghalang kepada kebahagiaanmu. Mereka (pihak berkuasa) selalu menawarkan aku supaya menyokong mereka sebagai syarat untuk aku dibebaskan. Namun selamanya mereka tidak akan berjaya memujukku walau aku dikerat sepotong-sepotong. Maka sekarang kamu buatlah pilihan. Tulislah kepadaku apa yang kamu putuskan. Semoga Allah bimbing kamu untuk membuat keputusan terbaik buatmu."
Aminah cuba menjawab apa yang diminta oleh suaminya. Namun, belum sempat dia membuka mulut, pengawal memerintahkannya supaya beredar kerana masa melawat telah tamat.
Dia pulang ke rumah dan menukilkan sebuah syair pendek menyatakan pilihannya, iaitu dia memilih jalan jihad, jalan ke syurga. Dia berkata:
Biarkan aku berkongsi denganmu jalan ini
Sesungguhnya aku telah memilih
Wahai harapan yang menanti di jalan jihad dan syurga
Tsabat dan tadhhiyah
Terus utuh berpegang dengan apa yang kita janjikan
Aqidah yang mantap
Yakin tanpa keraguan tanpa penyesalan.
Tahun-tahun berlalu. Setelah 17 tahun menyulam cinta di balik jeriji, suaminya dibebaskan, iaitu pada tahun 1973 untuk menyambung setia bersama Aminah yang amanah. Barulah mereka dapat mengecapi kehidupan sebagai suami isteri yang sejati, penuh rahmah dan mawaddah.
Pada bulan September 1981, sekali lagi Kamal ditangkap dan dipenjarakan dan akhirnya meninggal dunia pada bulan November tahun yang sama. Jasadnya dihantar kepada keluarga oleh pihak berkuasa dengan syarat segera dikebumikan tanpa diadakan sebarang upacara takziah. Pihak berkuasa terlaknat mengisytiharkan dia mati membunuh diri. Namun akhbar harian menyatakan bahawa sebab kematian ialah penyiksaan yang melampau batas oleh pihak penjara.
Post a Comment