Friday, April 14, 2017

TIDAK TERBINA MASYARAKAT MUSLIM HANYA DENGAN UNDANG-UNDANG SYARIAH

بسم الله الرحمن الرحيم Assalaamu Alaykum Wa Rahmatullaahi Wa Barakaatuh اللهم صل على محمد وآل محمد


Image result for hudud

Sesungguhnya Islam bukanlah semata-mata hukum dan perundangan, ia Aqidah yang menafsirkan kewujudan, Ibadat yang membina kerohanian, Akhlak yang membentuk keperibadian dan kefahaman yang membetulkan pandangan, nilai yang dinamakan kemanusiaan dan adab-adab yang mengindahkan kehidupan. Ayat-ayat berkaitan perundangan Islam dalam Al-Quran tidak sampai 10 ayat dan semuanya bercampuran dengan unsur Aqidah dan kemanusiaan, bersangkut paut dengan janji dan hari Pembalasan, juga mempunyai keterikatan yang kukuh dengan cara pembawaan hikmah Al-Quran.
Kita baca satu contoh dalam bab kekeluargaan. Allah berfirmah dalam Surah Al-Baqarah ayat 229:
“Talak (yang dapat dirujuk) dua kali. Setelah itu boleh rujuk kembali dengan cara yang baik atau menceraikan dengan cara yang baik. Tidak halal bagi kamu mengambil kembali sesuatu dari yang telah kamu berikan kepada mereka, kecuali kalau keduanya bimbang tidak akan dapat menjalankan hukum-hukum Allah. Jika kamu bimbang bahawa keduanya (suami isteri) tidak dapat menjalankan hukum-hukum Allah, maka tidak ada dosa atas keduanya tentang bayaran yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya. Itulah hukum-hukum Allah, maka janganlah kamu melanggarnya. Barangsiapa yang melanggar hukum-hukum Allah, mereka itulah orang-orang yang zalim.’’
Ini bukanlah ayat perundangan semata-mata bahkan ayat ini adalah gabungan hukum perundangan, dakwah, didikan, motivasi galakan, dan ancaman.
Kita baca juga ayat berkaitan hukuman hudud dalam Surah Al-Maidah ayat 38-40:
‘’Adapun orang lelaki mahupun perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) balasan atas perbuatan yang mereka lakukan dan sebagai seksaan daripada Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (38)
Tetapi barang siapa bertaubat setelah melakukan kejahatan itu dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sungguh, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (39)
Tidakkah kamu tahu, bahwa Allah memiliki seluruh kerajaan langit dan bumi, Dia menyeksa siapa yang Dia kehendaki dan mengampunkan siapa yang Dia kehendaki. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (40)
Inilah apa yang kita dapati daripada Shariah, ia membawa mesej untuk menakutkan dan memberi harapan, didikan dan tunjuk ajar, memotivasikan taubat dan pembaikan. Selari dengan nama-nama Allah: Al-Aziz Yang Maha Perkasa dalam memberi perintah dan membuat larangan. Al-Hakim Yang Maha Bijaksana dalam memberi hukum. Al-Ghafur Al-Rahim Yang Maha Pengampun dan Maha Mengasihi kepada mereka yang bertaubat dan berubah. Pemilik segala makhluk dan perintah, dan Dia berkuasa atas segala sesuatu. Inilah cara pembawaan hukum dan Shariah dalam Al-Quran. Begitu juga dalam Sunnah Nabawiyah. Bukanlah sekadar hukuman Shariah semata-mata mampu membina sebuah masyakarat Muslim, tetapi terdapat juga unsur lain iaitu dakwah, seruan, kesedaran kemudiannya pendidikan dan tarbiyah sehinggalah menuju kepada pelaksanaan hukuman dan sistem perundangan.
Perkara ini dapat dilihat di awal-awal Islam dalam fasa Mekah, fasa dakwah dan tarbiyah sebelum ke fasa Madinah, fasa pensyariatan dan pelaksanaan hukum. Walaupun begitu, di fasa Madinah unsur pelaksanaan syariat tetap juga bercampur dengan unsur lain seperti tarbiyah jasmani dan rohani. Sesungguhnya perundangan dan hukum semata-mata tidak dapat membina sebuah masyarakat Muslim bahkan ia harus dilakukan dengan perubahan individu sebagai asas.
Perkara terpenting dalam membantu proses perubahan individu adalah iman. Iman melahirkan manusia baru, manusia yang mempunyai tujuan, manusia yang hidup dengan tatacara yang ditetapkan, dan mampu menyusun amalan yang memberi keuntungan di dunia dan di akhirat. Islam itu diambil secara keseluruhannya tidak terpisah-pisah. Ketika kita ingin membasmi jenayah dengan hudud yang disyariatkan, ia bukanlah semata-mata menjalankan hudud dan undang-undang syariah tetapi proses ini adalah proses terakhir dalam melaksanakan islah dan pembaikan.
Hukuman disediakan kepada golongan yang terseleweng daripada manusia dan golongan ini bukanlah golongan majoriti, bukan juga golongan dominan. Mereka adalah golongan yang terpisah daripada golongan dominan dalam masyarakat. Islam datang bukan sekadar menghukum golongan terseleweng ini tetapi Islam datang untuk mengubati manusia daripada terseleweng. Hukuman bukan faktor terbesar dalam membasmi jenayah dalam kacamata Islam, tetapi pencegahan itu yang lebih utama. Pencegahan lebih baik daripada mengubati.
Contohnya dalam bab zina, kita mendapati dalam Surah An-Nur disebut hukuman bagi penzina dalam satu ayat sahaja iaitu ayat kedua:
“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka pukullah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali pukulan, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.”
Selain itu, hampir keseluruhan baki isinya bercerita mengenai pencegahan daripada melakukan maksiat seperti dalam ayat ke-19:
“Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar perbuatan yang sangat keji itu (berita bohong) tersiar dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka mendapat azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
Juga ayat berkaitan adab-adab di rumah dan penjagaan kehormatan dalam ayat ke-27:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu (selalu) ingat.
Selain itu, Surah An-Nur turut mendidik orang beriman supaya bersifat lembut, menjaga pandangan dan kehormatan serta galakan perkahwinan. Menjadi satu kewajipan untuk membersihkan masyarakat daripada unsur syahwat dan fitnah, menutup ruang-ruang kefasadan dan yang paling utama adalah suruhan kahwin bagi lelaki dan wanita bujang. Ia dikira satu tanggungjawab seperti firman Allah dalam ayat ke-32:
“Dan nikahkanlah orang-orang yang masih membujang di antara kamu, dan juga orang-orang yang layak (menikah) dari hamba-hambamu yang laki-laki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kemampuan kepada mereka dengan karunia-Nya. Dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui”.
Tanggungjawab sebenar sebuah masyarakat Muslim, khususnya ke atas pemimpin mereka adalah memudahkan urusan pembinaan hubungan yang halal ini sehingga ia menjadi benteng kukuh daripada berlakunya kerosakan. Dijayakan proses ini dengan menyelesaikan segala masalah yang menjadi penghalang kepada urusan perkahwinan seperti budaya mahar yang tinggi, pembaziran dalam majlis dan kenduri, dan pemberian bantuan kepada mereka yang ingin mendirikan rumahtangga secara wang tunai atau barang-barang keperluan.
Masyarakat Muslim tidak akan terbina dengan penguatkuasaan hukum hudud semata-mata. Hukuman terhadap penzina contohnya dengan syarat-syarat yang ketat seperti pembuktian dengan empat orang saksi yang adil adalah sebenarnya untuk menghalang maksiat dilakukan dan ditunjuk-tunjuk di khalayak ramai. Bagi maksiat yang dilakukan secara tertutup dan tersembunyi ia terlepas daripada hukuman dunia tetapi terdedah kepada hukuman akhirat daripada Allah.
Penulis : Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi, Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia
Terjemahan : Siasah Rahmah - SR
Sumber : http://iumsonline.org/ar/3/l-ybn-lmgtmaa-bltshryaa-ohdh/

No comments: