Sunday, June 13, 2021

Kayakah kita?



Bila kita sebut kaya, lumrahnya membawa maksud kemewahan dalam bentuk pemilikan harta seperti wang ringgit. 

Seseorang itu dikira kaya jika dia mempunyai aset fizikal yang boleh dinilai seperti duit, harta, rumah, tanah dan sebagainya. Sekiranya aset yang dimiliki itu melebihi daipada orang lain maka dia dianggap kaya.

Namun adakah itu kita anggap kekayaan sebenar? 

Jika kita tersilap meletakkan garis panduan dan makna sebenarnya kekayaan, kita akan mengejar ‘kekayaan’ yang membawa kita kepada kehancuran. Kadang kala pemilikan harta tersebut tidak mengira halal atau haram.

Rasulullah SAW menyebutkan hakikat kekayaan itu dalam sabda baginda;

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ.

Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW bersabda: “Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta, akan tetapi kekayaan itu adalah kaya hati (jiwa)." (HR Bukhari No: 6446) Status: Hadis Sahih

Berdasarkan hadis di atas, hakikat kekayaan bukanlah dengan banyaknya harta.

Kekayaan sebenarnya adalah kekayaan jiwa, iaitu orang yang merasa cukup dengan apa yang diberi kepadanya (qona’ah), redha dan tidak tamak dalam mencari harta.

Kebanyakan manusia yang dilapangkan hartanya tidak puas dengan harta yang telah dimilikinya, malah akan sentiasa berusaha untuk menambah hartanya tanpa rasa cukup dan puas. Rasulullah SAW mengingatkan:

عَنْ عَطَاءٍ قَالَ سَمِعْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَوْ كَانَ لِابْنِ آدَمَ وَادِيَانِ مِنْ مَالٍ لَابْتَغَى ثَالِثًا وَلَا يَمْلَأُ جَوْفَ ابْنِ آدَمَ إِلَّا التُّرَابُ وَيَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ

Dari ‘Atha` dia berkata; saya mendengar Ibnu Abbas RA berkata; saya mendengar Nabi SAW bersabda: “Sekiranya anak Adam memiliki harta sebanyak dua bukit, nescaya ia akan mengharapkan untuk mendapatkan bukit yang ketiga, dan tidaklah perut anak Adam itu dipenuhi melainkan dengan tanah, dan Allah menerima taubat siapa saja yang bertaubat.” (HR Bukhari No: 5956) Status: Hadis Sahih

Berusahalah kita menjadi orang yang kaya hati, sentiasa merasa cukup dan bersyukur dengan setiap rezeki yang dimiliki.  

Rasulullah SAW mengajar kepada kita doa:

اللَّهُمَّ إِنِّى أَسْأَلُكَ الْهُدَى وَالتُّقَى وَالْعَفَافَ وَالْغِنَى

“Ya Allah, aku meminta pada-Mu petunjuk, ketakwaan, diberikan sifat ‘afaf dan ghina” (HR. Muslim no. 2721).

Imam Nawawi Ketika mensyarahkan hadis ini menyebutkan, “Afaf dan ‘iffah bermakna menjauhkan dan menahan diri dari hal yang tidak diperbolehkan. Sedangkan al ghina adalah hati yang selalu merasa cukup dan tidak memerlukan pada apa yang ada di sisi manusia lain.” (Al Minhaj Syarh Shahih Muslim bin Al Hajjaj, 17/41, Dar Ihya’ At Turots Al ‘Arobi). 

Dalam doa di atas kita meminta pada Allah empat perkara:

1.  Petunjuk (hidayah), 
2.  Ketakwaan, 
3.  Sifat menjauhkan diri dari yang haram, dan 
4.  Kecukupan.

Semoga Allah menjadikan kita hamba yang kaya dengan selalu merasa cukup dengan segala nikmat yang diberi.

#SuburkanAmalanMantapkanKeperibadian
https://t.me/kapsul_tazkirah

No comments: