Hari ini kita telah memasuki bulan Zulhijjah, bulan yang terkenal dengan ibadah Haji dan Korban.
Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
"Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini -baginda memasukkan: 10 hari terawal Zulhijjah-." Para sahabat bertanya; "Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?" Baginda bersabda; "Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali."
Riwayat al-Bukhari (969),Abu Daud (2438),Ibn Majah (1727),al-Tirmizi (757).
10 awal ZulHijjah ini merupakan hari-hari yang dimuliakan oleh tuhan, digandakan ganjaran amalan padanya dan disebut sebagai hari yang paling disukai Allah SWT.
Ini adalah peluang kita untuk menebus kekurangan dan kekhilafan diri pada masa lalu. Memperbanyakkan amalan kebaikan dan ketaatan padaNya, dengan harapan bahawa dosa-dosa kita diampunkan dengan gandaan ganjaran amalan dalam tempoh istimewa ini.
Berpuasa, berzikir, beristighfar, tilawah, berselawat serta bermacam kebaikan yang seharusnya kita laksanakan sedaya mampu sepanjang 10 hari ini. Paling kurang jangan kita terlepas daripada Puasa Arafah (tanggal 9 ZulHijjah - ganjarannya keampunan dosa setahun lalu dan setahun mendatang).
Moga Allah golongkan kita dalam kalangan orang yang tidak lalai dan sempat merebut peluang keemasan ini, sebelum baki umur kita ditamatkan tempohnya di dunia.
Oleh: Akmal
https://t.me/kapsul_tazkirah
No comments:
Post a Comment