Tuesday, September 14, 2021

Keutamaan Menuntut Ilmu



Ilmu adalah suatu keperluan kepada manusia. Wahyu pertama yang turun kepada Rasulullah SAW adalah perintah untuk belajar.

اقرَأ بِاسمِ رَبِّكَ الَّذي خَلَقَ

Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, (al-Alaq: 1)

Ayat ini dimulakan dengan kalimah Iqra (اقرَأ) kata arahan Bacalah!, belajarlah, carilah ilmu. Jangan jadi orang yang jahil!

Tuntutan belajar ini adalah suatu keperluan. Kata hukama:

اطْلُبُوا العِلمَ مِنَ المَهدِ إِلى اللّحْدِ

Tuntutlah ilmu daripada buaian hingga ke liang lahad.

Rasulullah SAW menggambarkan keberuntungan orang yang menuntut ilmu dalam hadis baginda:

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ الْعِلْمِ وَإِنَّ طَالِبَ الْعِلْمِ يَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ حَتَّى الْحِيتَانِ فِي الْمَاءِ وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ إِنَّ الْعُلَمَاءَ هُمْ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ إِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا إِنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Daripada Abu Darda "Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa melalui satu jalan untuk mencari ilmu, Allah akan permudahkan baginya jalan menuju syurga. Para Malaikat akan membentangkan sayapnya kerana redha kepada penuntut ilmu. Penghuni langit dan bumi hingga ikan yang ada di dalam air mendoakan keampunan kepada penuntut ilmu. Sesungguhnya, keutamaan seorang alim dibanding dengan seorang ahli ibadah adalah ibarat bulan purnama atas semua bintang. Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para Nabi, dan para Nabi tidak mewariskan dinar mahupun dirham, akan tetapi mereka mewariskan ilmu. Barangsiapa mengambilnya, maka ia telah mengambil bahagian yang sangat besar." (Sunan Ibnu Majah No: 219) Status: Hadis Sahih

Berdasarkan hadis ini, orang yang berusaha mencari ilmu sama ada ilmu fardhu ain mahupun fardhu kifayah, Allah akan mempermudahkan baginya jalan menuju ke syurga.

Mencari ilmu dalam suasana PKP ini, walaupun tidak dapat dilakukan secara bersemuka, namun dengan adanya kemudahan media sosial dan teknologi, kita boleh menuntut ilmu di mana-mana dan bila-bila masa. Namun perlu menjaga adab dan disiplin.

Orang yang berada di majlis ilmu termasuk secara online untuk menuntut ilmu, akan sentiasa didoakan Malaikat agar dicucuri rahmat serta didoakan keampunan oleh penghuni langit dan bumi termasuk ikan yang ada di dalam air.

Keutamaan orang yang berilmu berbanding dengan seorang ahli ibadah adalah ibarat bulan purnama dengan semua bintang yang ada (seorang yang berilmu itu umpama bulan yang bersinar dan menyinari cahaya, sedangkan ahli ibadah umpama cahaya daripada semua bintang-bintang).

Para ulama (ilmuan) adalah pewaris para Nabi kerana para Nabi mewariskan ilmu bukan harta (harta boleh habis sedangkan ilmu sentiasa berkembang).

Orang yang mencari dan mempelajari ilmu bermakna ia telah mengambil bahagian yang sangat besar daripda harta yang diwariskan oleh para Nabi.

Marilah kita berusaha sentiasa terus belajar bagi mendalami ilmu. Jadikanlah diri kita orang yang bermaklumat bukan hanya pak turut.  Gunakanlah segala kemudahan teknologi dan media sosial bagi mendapatkan ilmu bermanfaat. Semoga dengan cahaya ilmu, akan menjadi penyuluh hidup dan  mempermudahkan kita jalan ke syurga.

Semoga Allah menjadikan kita orang yang cerdik dan bijaksana kerana sentiasa belajar untuk menjadi orang yang berilmu.

#SuburkanAmalanMantapkanKeperibadian

https://t.me/kapsul_tazkirah

No comments: