Monday, September 27, 2021

Tangisan Dalam Islam



Menangis adalah satu tindak balas automatik yang akan dilalui oleh manusia disebabkan merasai emosi yang pelbagai seperti sedih, gembira, kecewa, takut, marah dan lain-lain. Malah ada kalanya, seseorang itu menangis tanpa sebab yang kukuh, sedar-sedar sahaja pipi sudah dibasahi air mata.

Ada jenis tangisan yang dituntut. Antaranya seperti mana hadis Nabi SAW:

عَيْنَانِ لَا تَمَسُّهُمَا النَّارُ : عَيْنٌ بَكَتْ مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ ، وَعَيْنٌ بَاتَتْ تَحْرُسُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

“Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka: Mata yang menangis kerana takutkan Allah, dan mata yang berjaga kerana menjaga perjuangan di jalan Allah.” (HR al-Tirmizi)

Ada jenis tangisan yang dituntut, ada yang diharuskan malah ada juga yang dilarang.

Tangisan dibolehkan dalam Islam namun jangan sampai meratap dan seolah-olah tidak menerima ketentuan qadha dan qadar daripada Allah SWT.

Tangisan yang benar adalah tangisan kerana iman dan takwa serta mendekatkan diri kepada pencipta. 

Menurut Ibnu Qayyim al-Jawziy di dalam Kitab Zadul Maad, terdapat sepuluh jenis tangisan:

1- بكاء الخوف والخشية 
Menangis kerana rasa takutkan Allah

2- بكاء الرحمة والرقة 
Menangis kerana kasih sayang dan kelembutan hati

3- بكاء المحبة والشوق  
Menangis kerana cinta

4- بكاء الفرح والسرور  
 Menangis kerana gembira

5- بكاء الجزع من ورود الألم وعدم احتماله  
Menangis kerana menghadapi penderitaan

6- بكاء الحزن 
Menangis kerana terlalu sedih

7- بكاء الخور والضعف  
Menangis kerana terasa hina dan lemah

8- بكاء النفاق 
Menangis orang munafik iaitu pura-pura menangis

9- بكاء المستعار والمستأجر عليه 
Menangis untuk mendapat belas kasihan orang

10 - بكاء الموافقة 
Menangis kerana mengikut-ikut orang menangis

Menjadi satu nikmat buat seorang hamba apabila dapat menitiskan air mata kerana takutkan Allah SWT  serta mengenangkan dosa yang pernah dilakukan.

Dalam kalangan salafussoleh ada menyatakan, ‘menangislah kerana takutkan Allah SWT, jika tidak dapat menangis, maka perlu berusaha juga untuk menangis.’

Seorang soleh pernah mengatakan, jika seseorang tidak pernah menangis, dikhuatiri hatinya gersang. Allah SWT berfirman:

فَلْيَضْحَكُوا قَلِيلًا وَلْيَبْكُوا كَثِيرًا جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ ﴿٨٢﴾

Maka hendaklah mereka tertawa sedikit dan menangis banyak, sebagai pembalasan dari apa yang selalu mereka kerjakan. (At Taubat: 82)

#SuburkanAmalanMantapkanKeperibadian

https://t.me/kapsul_tazkirah

No comments: