Adakah kita tergolong dalam kalangan orang yang terbaik?
Satu daripada kriteria Muslim paling baik ialah yang memberi makan kepada orang lain serta mengucapkan salam kepada orang yang dikenali dan yang tidak dikenali. Rasulullah SAW bersabda:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الْإِسْلَامِ خَيْرٌ قَالَ تُطْعِمُ الطَّعَامَ وَتَقْرَأُ السَّلَامَ عَلَى مَنْ عَرَفْتَ وَمَنْ لَمْ تَعْرِفْ
Daripada Abdullah bin Amru RA, ada seseorang yang bertanya kepada Nabi SAW; "Islam manakah yang paling baik?" Nabi SAW menjawab: "Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal".(HR Bukhari No: 11) Status: Hadis Sahih
Islam sangat menggalakkan umatnya mengamalkan sifat-sifat mahmudah seperti bertolong bantu serta hormat menghormati dalam semua keadaan. Bertolong bantu antaranya melalui amalan memberi makan kepada orang lain. Juga saling menghormati dengan menyebarkan salam sama ada kepada orang yang dikenali mahupun tidak. Sifat demikian dapat melahirkan anggota masyarakat yang rahmah dan bahagia.
Dua ciri Muslim yang paling baik berdasarkan hadis di atas:
Pertama: Muslim yang memberi makan kepada orang lain seperti kepada tetamu, jiran tetangga atau orang yang memerlukan, contohnya yang terkesan akibat COVID-19.
Amalan memberi pertolongan dengan menjamu orang yang dikenali dan tidak dikenali boleh mengeratkan hubungan dan menunjukkan sifat kemurahan.
Orang yang memberi atau bersedekah makanan mahupun dalam bentuk wang ringgit, nescaya Allah akan menambah rezeki kepadanya. Hadis Nabi SAW menyebutkan:
مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ …
Sedekah tidak mengurangi harta… (Sahîh Muslim No. 2588).
Kedua: Muslim yang menyebarkan salam iaitu selalu mengucapkan salam setiap kali bertemu sesama Muslim sama ada orang yang ditemui itu dikenali mahupun yang tidak dikenali.
Muslim yang tidak mahu mengucapkan salam setiap kali bertemu dengan Muslim yang lain dianggap seorang yang bakhil. Nabi SAW bersabda :
أَعْجَزُ النَّاسِ مَنْ عَجِزَ فِيْ الدُّعَاءِ وَأَبْخَلُ النَّاسِ مَنْ بَخِلَ بِالسَّلاَمِ.
Selemah-lemah manusia adalah orang yang lemah (malas) berdoa kepada Allâh, dan sebakhil-bakhil manusia adalah orang yang bakhil mengucapkan salam (HR Thabarani dalam Mu’jamul Ausath (no. 5587) Status: Hadis Hasan
Jadilah kita orang yang paling baik dengan membiasakan diri memberi makan kepada orang lain serta suka memberi salam kepada orang yang kita kenali ataupun tidak.
#SuburkanAmalanMantapkanKeperibadian
No comments:
Post a Comment