Friday, March 24, 2023

Ramadan Bulan Meraih Laba



Kita telah berada di bulan Ramadan. Sewajarnya setiap Muslim menggunakan sepenuhnya kesempatan di bulan Ramadan pada kali ini untuk melipat gandakan berbagai ibadah dan amal soleh.

Apabila kita berada di dalam bulan Ramadan, bererti hari-hari di bulan Ramadan adalah hari ghanimah (hari memperoleh bahagian daripada harta rampasan perang). Kesempatan untuk mendapatkan keuntungan yang sangat besar.

Di dalamnya terdapat pelbagai keutamaan yang sangat agung, dan pahala yang sangat besar. Antaranya adalah pahala puasa, pahala solat terawih, pahala sedekah, pahala ta'lim (mempelajari ilmu agama), pahala amar ma'ruf (menyuruh kebaikan) dan pahala nahi mungkar (melarang dari kemungkaran). Setiap amalan baik yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan adalah termasuk dari perkara yang dilipatgandakan pahalanya berbanding jika dilakukan di luar bulan Ramadan.

Bulan Ramadan adalah bulan untuk meraih keuntungan dan laba yang berlipat ganda. 

Abu Hurairah RA meriwayatkan, menjelang Ramadan, Rasulullah berkhutbah pada sahabat:

عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلىَّ اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قاَلَ لَمَّا حَضَرَ رَمَضَانُ : قَدْ جَاءَكُمْ شَهْرُ مُبَارَكٌ, إُفْتُرِضَ عَلَيْكُمْ صِيَامُهُ, تُفْتَحُ فِيْهِ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَتُغْلَقُ فِيْهِ أَبْوَابُ الْجَحِيْمِ وَتُغَلُّ فِيْهِ الشَّيَاطِيْنُ, فِيْهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ ألْفِ شَهْرٍ, مَنْ حُرِمَ خَيْرُهَا فَقَدْ حُرِمَ

“Ramadan telah datang kepada kamu yang merupakan bulan berkat dan Allah S.W.T telah mewajibkan puasa dalam bulan ini. Semua pintu syurga dibuka dan semua pintu neraka ditutup serta dibelenggu syaitan. Ia mempunyai satu malam yang lebih baik dari seribu bulan dan sesiapa yang tidak diberikan kebajikan malam itu, bererti diharamkan baginya segala rupa kebajikan” (HR Ahmad dan al-Nasai)

Mari kita manfaatkan bulan Ramadan kali ini dengan bersungguh-sungguh beribadah, berazam untuk memperelokkan solat fardhu serta memperbanyakkan solat sunat, membanyakkan membaca Al-Quran, berzikir, memaafkan kesalahan orang, dan berbuat baik kepada orang lain.
Berusahalah untuk menghilangkan permusuhan, kebencian dan dendam di antara kalian.

Terdapat laba dan keuntungan yang besar menanti kita semua, jika kita dengan sabar menempuh setiap dugaan Ramadan ini dengan jayanya. Labanya bukan sedikit. Orang-orang yang bersabar itu diganjari dengan balasan yang tanpa had oleh Allah SWT seperti yang dijanjikan dalam Surah Al-Zumar: ayat 10.

قُلۡ يَٰعِبَادِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمۡۚ لِلَّذِينَ أَحۡسَنُواْ فِي هَٰذِهِ ٱلدُّنۡيَا حَسَنَةٞۗ وَأَرۡضُ ٱللَّهِ وَٰسِعَةٌۗ إِنَّمَا يُوَفَّى ٱلصَّبِرُونَ أَجۡرَهُم بِغَيۡرِ حِسَابٖ ١٠

Katakanlah (wahai Muhammad, akan firman Ku ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): “Wahai hamba-hamba Ku yang beriman! Bertakwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). Dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.”

Semoga Allah SWT memberikan taufiq-Nya kepada kita semua agar bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk beribadah dan melakukan pelbagai amal ketaatan sepanjang bulan Ramadan ini.

Ramadan Aku Kembali Mendamba Redha Ilahi

https://t.me/kapsul_tazkirah

No comments: