Tuesday, September 26, 2023

PESAN BUAT SUAMI YANG ISTERINYA TIDAK APA-APA

Nota hati ustaz pahrol
Ketika seorang suami ditegur, jangan berwasap dengan isteri orang, dia sebaliknya berkata, "tidak ada salahnya, sebab semua ini dalam pengetahuan isteri saya juga."

Saya terdiam seketika. Ada logiknya. Tetapi bila dirujuk pada fitrah dan syariat, ternyata logik itu bukan sahaja tidak boleh diterima, malah jelas itu satu kesalahan.

Pertama, jika isteri kamu tidak ada apa-apa, tetapi bagaimana suami perempuan yang kamu hubungi. Kerana isteri itu kepunyaan suaminya. Maruah isteri sangat berkait dengan suami.

Alasan tidak ada apa-apa kerana pasangan kita 'sudah tahu', juga sangat berbahaya kerana itu boleh menyebabkan seseorang jatuh menjadi dayus!

Jadi, jangan kerana isteri kamu tidak apa-apa, suami orang lain pun kamu rasa tidak apa-apa. Nilai dan prinsip kamu mungkin berbeza, jadi hormatilah hak orang lain.

Kedua, apakah kamu berkongsi setiap panggilan dan wasap yang kamu buat kepada isteri orang kamu kongsikan dengan isteri kamu secara terperinci? Setiap kali?

Mungkin kamu beritahu secara umum, dan isteri kamu juga 'membenarkannya' secara umum... tetapi berwasap dan membuat panggilan itu hanya kamu berdua sahaja menulis, membaca, berkata dan mendengarnya...

Ada kemungkinan isteri kamu pun tidak redha jika dia membaca dan mendengar secara terperinci apa yang kamu bualkan, seperti suami orang itu juga tidak redha dengan apa yang kamu bualkan bersama isterinya.

Islam sangat menjaga pergaulan antara lelaki dan wanita. Hingga batasan 'jangan hampiri zina', 'tundukkan pandangan', 'zina hati', pendengaran dan penghiduan ke arah rancangan nafsu yang haram pun sangat dijaga.

Jangan keseronokan dan kesukaan terhadap sesuatu yang baru, kamu jadi teruja dan alpa sehingga melangkau batasan Allah dan Rasulnya.

Memang tidak salah berhubung atas urusan perniagaan, kesihatan, pengadilan dan urusan-urusan harus yang lain, tetapi buatlah atas dasar keperluan. Bukan keseronokan. Bukan bual 'kosong' yang akhirnya berisi.

Jangan kamu katakan, aku tidak akan melampaui batas dan pandai menjaga diri, kerana para Nabi, para sahabat Rasulullah SAW yang begitu kuat imannya itupun sangat menjaga diri.

Mengapa saya menyentuh isu ini berkali-kali? Kerana sudah banyak pelanggaran syariat sehingga tahap penzinahan, perkelahian, malah sampai berlaku perceraian angkara perbuatan ini.

Saya secara peribadi, telah diundang untuk memberi tazkirah dan kuliah tentang isu ini, bukan sahaja kepada organisasi swasta dan kerajaan bahkan dalam institusi agama Islam sendiri. Kemungkaran ini hampir menjadi budaya.

Justeru, sebelum jadi apa-apa, tinggalkanlah yang dirasakan tidak apa-apa. Jangan ikut logik, rasa dan nilai kamu yang tersasar kerana kita semua bukan nabi yang kalis godaan nafsu dan hasutan syaitan.

Buat, kamu, aku, kami, dan kita semua...cegahlah kemungkaran ini jika terjadi di hadapan mata. Jangan jadi 'malaikat' bisu demi melawan 'syaitan' yang pandai berkata-kata!

TOLONG KONGSIKAN DAN TULARKAN ENTRI INI DALAM GROUP WASSAP KELUARGA, ALUMNI SEKOLAH, HOBI, SUKAN DAN LAIN-LAIN, TERUTAMANYA YANG ADA LELAKI DAN WANITA BUKAN MUHRAM DI DALAMNYA.

Selamatkan rumah tangga sendiri dan selamatkan rumah tangga orang lain. Kita menyuruh kerana cinta. Kita menegah kerana sayang.

No comments: