Setiap kali serangan Hamas dengan Israel maka akan muncul Abu Ubaidah, jurucakap rasmi Briged Izzuddin Al-Qassam di bawah Hamas. Siapa Abu Ubaidah?
Abu Ubaidah ialah seorang pemuda Palestin. Beliau berucap di khalayak ramai dengan menutup wajahnya dengan serban merah dan hanya nampak dua biji mata sahaja.
Beliau memakai pakaian tentera Hamas dan pengikat kepala bewarna hijau tertulis nama "Kataib Al-Qassam" atau Briged Izzuddin Al-Qassam.
Kehebatan Abu Ubaidah semasa berucap ialah beliau kelihatan yakin dan berani dengan apa yang beliau ucapkan, tangan kanan beliau akan bergerak seiring dengan ucapan beliau.
Ucapan beliau bernada tegas dan sentiasa memberi keyakinan operasi Hamas akan memberi malapetaka kepada Israel.
Beliau berucap bagaikan tidak takut langsung dengan Israel yang merupakan negara paling kuat dan canggih kuatan tentera di dunia!
Ucapan beliau menunjukkan kepada tentera Hamas dan kita supaya jangan takut kepada sesiapa pun kecuali kepada Allah!
Beliau akan selit dalam ucapannya ayat-ayat Al-Quran yang berkaitan dengan Jihad dan menentang golongan zalim.
Menurut laporan media, ucapan Abu Ubaidah amat dipercayai oleh tentera Israel berbanding ucapan pemimpin mereka sendiri. Ucapan Abu Ubaidah sentiasa ditunggu-tunggu oleh Israel.
Abu Ubaidah bukan nama sebenar juru cakap rasmi Briged Izzuddin Al-Qassam ini.
Abu Ubaidah adalah nama samaran sempena nama sahabat Abu Ubaidah Al-Jarrah RA.
Abu Ubaidah Al-Jarrah RA adalah orang awal yang memeluk Islam. Beliau dilantik sebagai panglima mengggantikan Khalid Al-Walid RA.
Dibawah kepimpinan Abu Ubaidah Al-Jarrah RA, tentera Islam berjaya membuka kota Damsyik, Baitul maqdis dan seluruh wilayah Syam.
Abu Ubaidah Al-Jarrah RA dikenali sebagai penjaga amanah umat kerana Rasulullah SAW pernah bersabda:
لِكُلِّ أُمَّةٍ أَمِينٌ وَأَمِينُ هَذِهِ الْأُمَّةِ أَبُو عُبَيْدَةَ بْنُ الْجَرَّاحِ
"Setiap umat mempunyai orang kepercayaan, dan orang kepercayaan umat ini ialah Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah." (Riwayat Bukhari)
Abu Ubaidah Al-Jarrah RA mempunyai kedudukan yang istimewa di sisi Saidina Abu Bakar Al-Siddiq RA dan Saidina Umar Al-khatab RA.
Apabila Rasullah SAW wafat, Saidina Abu Bakar Al-Siddiq RA mencadangkan nama Saidina Umar Al-khatab RA atau Abu Ubaidah Al-Jarrah RA sebagai calon khalifah di Saqifah Bani Sa'idah, namun Abu Ubaidah menolaknya.
Saidina Umar RA pernah berkata menjelang kewafatannya:
لَوْ كَانَ أَبُو عُبَيْدَةَ بْنُ الْجَرَّاحِ حَيًّا اسْتَخْلَفْتُهُ، فَإِنْ سَأَلَنِي رَبِّي قُلْتُ: سَمِعْتُ نَبِيَّكَ يَقُولُ: إِنَّهُ أَمِينُ هَذِهِ الأُمَّةُ
"Jika Abu Ubaidah masih hidup hari ini, aku akan mengangkatnya sebagai Khalifah. Kemudian jika Tuhanku bertanya kepadaku (mengapa dia yang diangkat), aku akan menjawab: ‘Wahai Tuhan, aku telah mendengar daripada Nabi-Mu (SAW) bahawa Abu ‘Ubaidah adalah orang terpercaya daripada kalangan umat ini'."
Abu Ubaidah Al-Jarrah meninggal dunia disebabkan oleh wabak Amwas di Syam pada tahun 18 Hijrah.
Profil Abu Ubaidah Al-Jarrah RA amat hebat. Beliau yang membuka kota Baitul Maqdis, Palestin.
Mungkin sebab itu, jurucakap Briged Izzuddin Al-Qassam memakai nama samaran Abu Ubaidah.
Identiti sebenar Abu Ubaidah tidak diketahui.
Hingga hari ini, tiada siapa pun mengetahui identiti sebenar Abu Ubaidah kecuali beberapa orang sahaja. Beliau lebih dikenali sebagai pemuda Hamas yang memakai serban merah.
Abu Ubaidah muncul pertama kali di khalayak ramai pada tahun 2006. Ketika itu, beliau mengumumkan penangkapan askar Israel, Gilad Shalit.
Pada tahun 2014, Israel mengeluarkan foto yang didakwa Abu Ubaidah. namun Hamas menafikan foto tersebut.
Baru-baru ini, Israel mengeluarkan sekali lagi foto yang didakwa sebagai Abu Ubaidah. Israel cuba mengguna psywar seolah-olah mengetahui identiti Abu Ubaidah namun semuanya adalah dusta.
Pihak Israel bersungguh-sungguh mencari identiti Abu Ubaidah namun tidak berjaya hingga hari ini.
Media Arab melaporkan bahawa rakyat Palestin sendiri tidak mengenali siapa sebenar Abu Ubaidah kecuali nama Abu Ubaidah dan serban merahnya sahaja.
No comments:
Post a Comment