Wednesday, December 13, 2023

Anda kumpulan mana?

Sepuluh tahun ; Masih berdua dan ‘kumpulan keempat’. Alhamdulillah ~

حسبنا الله ونعم الوكيل 

Hari ini, genap sepuluh tahun kami sebagai ‘sebuah pasukan’. Bersama-sama menambah baik diri, menambah baik keluarga, semoga menambah baik masyarakat dan negara. Mudah-mudahan semuanya, Aamiin.

Dan Allah masih mengekalkan pasukan kami hanya dianggotai oleh dua orang sahaja, sehingga hari ini. Secara asasnya. Alhamdulillah ❤️

Hanya kisah-kisah Al-Quran meyakinkan jiwa. Hanya kalam Allah yang melapangkan dada.

Ada sepotong ayat Al-Quran (antaranya) yang sentiasa menjadi pemujuk hati kami ;

==========

لِّلَّهِ مُلۡكُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۚ يَخۡلُقُ مَا يَشَآءُۚ يَهَبُ لِمَن يَشَآءُ إِنَٰثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَآءُ ٱلذُّكُورَ

Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya; Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

أَوۡ يُزَوِّجُهُمۡ ذُكۡرَانًا وَإِنَٰثًاۖ وَيَجۡعَلُ مَن يَشَآءُ عَقِيمًاۚ إِنَّهُۥ عَلِيمٌ قَدِيرٌ

Atau Ia mengurniakan mereka kedua-duanya - anak-anak lelaki dan perempuan, dan Ia juga menjadikan sesiapa yang dikehendakiNya: mandul. Sesungguhnya Ia Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.

Ash-Shūrā 42, Ayah 49 - 50

==========

Ana kongsikan makna ringkas bagi ayat ini, menurut kalam mufassirin - والله أعلم 

1) Ayat ini memahamkan kita bahawa manusia terbahagi kepada empat kumpulan.

• Kumpulan 1 : Mempunyai anak perempuan (semuanya) misalnya Nabi Lut dan Syu’aib

يَهَبُ لِمَن يَشَآءُ إِنَٰثًا

• Kumpulan 2 : Mempunyai anak lelaki (semuanya) misalnya Nabi Ibrahim AS

 يَهَبُ لِمَن يَشَآءُ ٱلذُّكُورَ

• Kumpulan 3 : Mempunyai anak lelaki dan perempuan (kedua-duanya) misalnya Nabi Muhammad SAW

 يُزَوِّجُهُمۡ ذُكۡرَانًا وَإِنَٰثًاۖ

• Kumpulan 4 : Tidak mempunyai anak misalnya Nabi Yahya dan Nabi Isa

يَجۡعَلُ مَن يَشَآءُ عَقِيمًاۚ

Rujukan misal : اللباب في علوم الكتاب

2) Ya, kita tidak berseorangan dalam dunia ini tergolong dalam mana-mana golongan 💕

Ketika ana mula-mula mendalami ayat ini untuk memahami letak duduk kami berdua dalam kumpulan ini, ana gembira, Wallahi.

Kerana Allah tidak meninggalkan kami - pastilah. -
Allah tetap berbicara tentang kami.
Allah tidak ‘mengenepikan’ kami.

Ya, kami bukan ‘makhluk asing’. Bukan tentang lemah atau kurang, tetapi tentang bukan itu kehendak Allah ke atas kami.

3) Perasan tak, Allah sentiasa menggunakan perkataan يهب yahabu terkait perkataan ‘hibah’ ketika berbicara soal zuriyat. Perhatikan sahaja ayat ini. Kenapa?

Kerana zuriyat itu bentuk PEMBERIAN secara ‘percuma’. Kurniaan dan anugerah sepenuhnya daripada Allah.

Mahu diberikan kepada siapa - diberikan.
Walaupun tanpa usaha keras.

Tidak mahu diberikan kepada siapa - tidak diberikan.
Walaupun manusia berusaha keras.

4) Perhatikan bagaimana ayat bagi keempat-empat golongan ini dimulakan.

Ia dimulakan dengan ;

“Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya;..”

Allah ingin menyampaikan bahawa kekuasaan dan kepemilikan-Nya meliputi semua yang ada di langit dan di bumi (serta apa yang ada di antara keduanya).

Dia mencipta, mentadbir dan menguruskan semua makhluk-Nya.

Jika langit teguh tidak bertiang boleh diciptakan,
Jika bumi luas terbentang boleh diciptakan,

Apa bezanya dengan hal penciptaan insan?

Ada pasangan bersamanya hanya anak perempuan
Ada pasangan bersamanya hanya anak lelaki
Ada pasangan bersamanya anak lelaki dan perempuan
Ada pasangan tidak punya anak?

Dia boleh ciptakan sedemikian, tiada susahnya, tiada mustahilnya dan tiada!

Kerana dia Rabb - Tuhan (Pencipta dan Pentadbir).
Kerana dia Rabb - Tuan.

Alhamdulillah. 

Ya kerana Allah adalah Tuan yang menciptakan kami, mentadbir urusan kami dan memiliki kami, sebagai hamba yang dimiliki sebegitulah harus reda dan imani setiap pentadbiran-Nya.

5) Perkataan إِنَٰثًا di dahulukan (taqdim) daripada ٱلذُّكُورَ (ta’khir) dalam ayat 49 dengan sangat banyak hikmah, juga satunya di sebut dengan nakirah (kata nama am) adapun satu lagi didatangkan dengan makrifah (kata nama khas). 

Antara tafsiran ulama di sini ialah kerana Allah ingin memuliakan wanita, yang telah dihinakan jahiliyyah. [Jangan kita bersikap bias terhadap jantina bayi/anak]

Namun dalam ayat 50 didahulukan ذُكۡرَانًا berbanding إِنَٰثًا serta kedua-duanya datang dalam bentuk nakirah. Masya-Allah!

Yang ini ana simpan, insya-Allah ana kongsikan lanjut nanti 🥰

Nota : Kalau ana tulis buku, kawan-kawan nak beli dak? Tibaaaa

Dalam kumpulan mana pun kita,
Kekallah hidup bertuhan sebagai hamba 🇵🇸

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.

Sepuluh tahun
Masih berdua
Dan 
Kumpulan keempat 

Doakan kami ya kawan-kawan,

Antum orang baik-baik, pasti sudi doakan kami yang baik-baik.

Semoga yang baik-baik juga Allah kurniakan kepada kawan-kawan yang baik Aamiin.

Mohon teguran jika ada salah dan silap, khususnya dalam tulisan ini.

BarakAllahu fiikum 💐
.

Noraini Mat Din
13/12/2023
N9

Hayya Travel

No comments: