Ustaz masri
Hari ini saya terbaca seseorang menimbulkan rasa kurang senang bila lihat seorang ibu mencium tangan anaknya apabila menghantar anaknya ke sekolah. Lalu menimbulkan persepsi adakah ini salah satu bentuk ibu bapa melahirkan tuan.
Tahukah kita, insan paling mulia, contoh terbaik bagi sekalian manusia, pernah mencium tangan puterinya?
Hadis ini sangat menyentuh jiwa kita apabila membacanya.
عَنْ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ، عَائِشَةَ رضي الله عنها، أَنَّهَا قَالَتْ: مَا رَأَيْتُ أَحَدًا كَانَ أَشْبَهَ سَمْتًا وَهَدْيًا وَدَلًّا بِرَسُولِ اللَّهِ ﷺ مِنْ فَاطِمَةَ كَرَّمَ اللَّهُ وَجْهَهَا
Daripada Ibu Orang-Orang Beriman, Aishah RA, bahawasanya beliau berkata:
"Aku tidak pernah melihat seorang pun yang paling serupa pada sudut perwatakan dan petunjuk dengan Rasulullah SAW melebihi Fatimah Karramallahu Wajhah.
كَانَتْ «إِذَا دَخَلَتْ عَلَيْهِ قَامَ إِلَيْهَا فَأَخَذَ بِيَدِهَا، وَقَبَّلَهَا، وَأَجْلَسَهَا فِي مَجْلِسِهِ، وَكَانَ إِذَا دَخَلَ عَلَيْهَا قَامَتْ إِلَيْهِ، فَأَخَذَتْ بِيَدِهِ فَقَبَّلَتْهُ، وَأَجْلَسَتْهُ فِي مَجْلِسِهَا»
Adalah Fatimah apabila dia masuk menemui Baginda (Nabi SAW), Baginda berdiri menyambutnya, memegang tangannya, menciumnya, dan mendudukkannya di tempat duduk Baginda. Apabila Baginda masuk menemui Fatimah pula, Fatimah berdiri menyambutnya, memegang tangan Baginda, menciumnya, dan mendudukkan Baginda di tempat duduknya."
(Sunan Abi Dawud, al-Arna'ut menyatakan sanadnya sahih)
Dalam riwayat yang lebih panjang.
عَنْ عَائِشَةَ أُمِّ المُؤْمِنِينَ، قَالَتْ: «مَا رَأَيْتُ أَحَدًا أَشْبَهَ سَمْتًا وَدَلًّا وَهَدْيًا بِرَسُولِ اللَّهِ فِي قِيَامِهَا وَقُعُودِهَا مِنْ فَاطِمَةَ بِنْتِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ»
Daripada Aishah, Ibu Orang-Orang Beriman, beliau berkata:
"Aku tidak pernah melihat seorang pun yang paling serupa dengan Rasulullah SAW pada sudut perwatakan, dan petunjuk dalam berdiri dan duduknya melebihi Fatimah binti Rasulullah SAW."
قَالَتْ: «وَكَانَتْ إِذَا دَخَلَتْ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَامَ إِلَيْهَا فَقَبَّلَهَا وَأَجْلَسَهَا فِي مَجْلِسِهِ، وَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ عَلَيْهَا قَامَتْ مِنْ مَجْلِسِهَا فَقَبَّلَتْهُ وَأَجْلَسَتْهُ فِي مَجْلِسِهَا،
Aishah berkata: "Apabila Fatimah masuk menemui Nabi SAW, Baginda berdiri menyambutnya, menciumnya, dan mendudukkannya di tempat duduk Baginda. Apabila Nabi SAW masuk menemui Fatimah, Fatimah berdiri dari tempat duduknya, mencium Baginda, dan mendudukkan Baginda di tempat duduknya.
فَلَمَّا مَرِضَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَتْ فَاطِمَةُ فَأَكَبَّتْ عَلَيْهِ فَقَبَّلَتْهُ ثُمَّ رَفَعَتْ رَأْسَهَا فَبَكَتْ، ثُمَّ أَكَبَّتْ عَلَيْهِ ثُمَّ رَفَعَتْ رَأْسَهَا فَضَحِكَتْ»،
Maka apabila Nabi SAW jatuh sakit (sakit yang membawa kepada wafat), Fatimah masuk menemui Baginda lalu membongkokkan badannya ke arah Baginda dan mencium Baginda, kemudian dia mengangkat kepalanya lalu menangis. Kemudian dia membongkokkan badannya semula ke arah Baginda, lalu mengangkat kepalanya dan ketawa."
فَقُلْتُ: " إِنْ كُنْتُ لَأَظُنُّ أَنَّ هَذِهِ مِنْ أَعْقَلِ نِسَائِنَا فَإِذَا هِيَ مِنَ النِّسَاءِ،
Aku (Aishah) berkata: "Dahulu aku menyangka bahawa dia adalah antara wanita kita yang paling berakal, namun ternyata dia juga seperti wanita-wanita lain (terikut emosi)."
فَلَمَّا تُوُفِّيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قُلْتُ لَهَا: أَرَأَيْتِ حِينَ أَكْبَبْتِ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَفَعْتِ رَأْسَكِ فَبَكَيْتِ ثُمَّ أَكْبَبْتِ عَلَيْهِ فَرَفَعْتِ رَأْسَكِ فَضَحِكْتِ، مَا حَمَلَكِ عَلَى ذَلِكَ "؟
Maka apabila Nabi SAW telah wafat, aku berkata kepadanya: "Apakah sebenarnya yang berlaku ketika engkau membongkokkan badan ke arah Nabi SAW lalu engkau mengangkat kepalamu dan menangis, kemudian engkau membongkokkan badan lagi ke arah Baginda lalu mengangkat kepalamu dan ketawa? Apakah yang mendorongmu berbuat demikian?"
قَالَتْ: إِنِّي إِذًا لَبَذِرَةٌ أَخْبَرَنِي أَنَّهُ مَيِّتٌ مِنْ وَجَعِهِ هَذَا فَبَكَيْتُ، ثُمَّ أَخْبَرَنِي أَنِّي أَسْرَعُ أَهْلِهِ لُحُوقًا بِهِ فَذَاكَ حِينَ ضَحِكْتُ ":
Fatimah menjawab: "Jika aku memberitahunya (ketika Baginda masih hidup), sungguh aku ini seorang yang tidak pandai menyimpan rahsia. Baginda membisikkan kepadaku bahawa Baginda akan wafat disebabkan sakitnya ini, maka aku pun menangis. Kemudian Baginda membisikkan kepadaku bahawa aku adalah ahli keluarga Baginda yang paling cepat menyusuli Baginda, maka ketika itulah aku ketawa."
(Jami' al-Tirmidhi, Hasan Sahih).
Contohilah Nabi SAW.
#MMMR
No comments:
Post a Comment