By aqilah nor
Terbaca satu perkongsian,
“Tahajud pukul 3 pagi tak sama effect dengan tahajud pukul 5 pagi. Cuba buat dulu.”
Terus teringat Surah Al-Muzzammil.
Hari ini kita mudah bercakap tentang,
2 pagi.
3 pagi.
4.30 pagi.
5 pagi.
Sebab kita hidup dengan jam yang boleh mengukur waktu sampai ke minit.
Zaman Rasulullah dan para sahabat, manusia tidak mempunyai jam seperti yang kita gunakan hari ini.
Siang mudah diukur menerusi bayang-bayang,
Tetapi malam hari ukurannya sudah sukar.
.
Apabila Allah bercakap tentang qiyamullail dalam Surah Al-Muzzammil, Allah tidak menyebut pukul berapa seseorang perlu bangun.
Allah berfirman,
قُمِ اللَّيْلَ إِلَّا قَلِيلًا نِصْفَهُ أَوِ انقُصْ مِنْهُ قَلِيلًا أَوْ زِدْ عَلَيْهِ
“Bangunlah pada malam hari kecuali sedikit. Separuh daripadanya, atau kurang sedikit daripada itu, atau lebihkan sedikit.”
(Al-Muzzammil: 2–4)
Separuh.
Kurang sedikit.
Tambah sedikit.
Tiada angka pada jam.
.
Kemudian di penghujung surah, Allah kembali bercakap tentang malam.
أَدْنَىٰ مِن ثُلُثَيِ اللَّيْلِ وَنِصْفَهُ وَثُلُثَهُ
Ada yang berdiri hampir dua pertiga malam.
Ada yang separuh.
Ada yang sepertiga.
Kemudian Allah berfirman,
وَاللَّهُ يُقَدِّرُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ
“Dan Allah menentukan ukuran malam dan siang.”
Diikuti,
عَلِمَ أَن لَّن تُحْصُوهُ
“Dia mengetahui bahawa kamu tidak akan mampu menghitungnya dengan tepat.”
(Al-Muzzammil: 20)
Ini yang menarik.
Manusia mungkin tidak mampu menghitung malam dengan tepat.
Allah mampu.
Kita hari ini mempunyai jam yang jauh lebih precise.
Tetapi precision pada jam tidak bermaksud kita mempunyai precision tentang nilai spiritual sesuatu ibadah.
Sebab itu apabila disebut,
“Tahajud pukul 3 pagi effect-nya tak sama dengan pukul 5 pagi,”
terlintas satu soalan dalam kepala saya,
Apa yang dimaksudkan dengan “effect”?
Dan dari mana kita mengetahui perbezaan effect itu?
Surah Al-Muzzammil sendiri tidak memberikan formula,
3 pagi = sekian effect.
5 pagi = sekian effect.
Sebaliknya, semakin sampai ke penghujung surah, semakin luas ruang yang Allah berikan.
Allah tahu akan ada manusia yang sakit.
Ada yang keluar mencari rezeki.
Ada manusia dengan malam dan siang yang berbeza.
Kemudian Allah berfirman,
فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنَ الْقُرْآنِ
“Bacalah apa yang mudah bagimu daripada Al-Quran.”
Allah tahu kapasiti manusia tidak sama.
.
Mungkin kerana hidup kita hari ini sangat bergantung pada angka, tanpa sedar kita membawa cara berfikir yang sama ke dalam kehidupan spiritual.
Pukul berapa?
Berapa rakaat?
Berapa minit?
Berapa kali?
Angka boleh membantu kita membina struktur.
Tetapi angka tidak boleh memberitahu kita nilai amal seseorang di sisi Allah.
Kita nampak seseorang bangun pukul 3 pagi.
Kita nampak seorang lagi hanya sempat bangun pukul 5 pagi.
Itu sahaja yang kita nampak.
Sedangkan ayat 20 bermula dengan kalimat,
إِنَّ رَبَّكَ يَعْلَمُ
“Sesungguhnya Rabbmu mengetahui.”
Allah tahu berapa lama seseorang berdiri.
Allah tahu bagaimana dia membaca.
Allah tahu keadaan tubuhnya.
Allah tahu apa yang sedang dipikul dalam kehidupannya.
Allah tahu bentuk malamnya.
Dan Allah tahu bentuk siangnya.
Surah Al-Muzzammil sangat mendamaikan.
Ia tidak mengajar kita menjadikan perjalanan orang lain sebagai measuring stick kepada perjalanan kita.
Jam membantu kita mengetahui waktu.
Tetapi jam tidak mengetahui manusia.
إِنَّ رَبَّكَ يَعْلَمُ
Rabbmu yang mengetahui.
#kupasansurahalmuzzammil
No comments:
Post a Comment