Wednesday, November 28, 2012

RAMBUT MANUSIA DALAM MAKANAN?

Bismillahirrahmanirrahim. Assalaamu Alaykum Wa Rahmatullaahi Wa Barakaatuh








Sedarkah kita bahawa makanan yang kita makan mungkin mengandungi rambut manusia? L-cysteine adalah bahan yang dimaksudkan. Bahan ini dilabelkan dengan kod E920. Digunakan dalam kebanyakan produk bakeri sebagai agen penaik

Bahan ini adalah halal jika dihasilkan secara sintetik iaitu daripada sumber bukan organik seperti petroleum atau daripada bulu bintang yang halal dimakan seperti bulu itik/ayam, dan haram jika dihasilkan daripada rambut manusia. Bahan ini di dalam kategori syubhah kerana terdapat sumber yang halal dan yang haram. Pastikan mempunyai status HALAL yang sah dan diiktiraf.

APA ITU L-CYSTEINE ?

Sejenis amino asid tidak perlu. Amino asid adalah bahan asas protein. Terdapat 20 jenis dan 8 daripadanya diperlukan untuk pertumbuhan manusia. Kandungan amino asid dalam protein akan menentukan kualitinya. Casein, protin susu dikatakan mengandungi kualiti tertinggi manakala kualiti protein gandum adalah lebih rendah kerana kekurangan asid amino perlu. Kebiasaannya ia ditulis pada label sebagai L-cysteine atau L-Cysteine Hydrochloride (HCL) atau E920.

2. PENGGUNAAN L-CYSTEINE

Banyak kegunaan L-Cysteine dikenalpasti dalam pemprosesan makanan. Antaranya, ia dapat mengurangkan masa mengadun doh gandum dan menghentikan pengecutan kerak pizza selepas dinipiskan dan menjadikan doh tidak mudah melekat. Selain itu, l cystein digunakan sebagai komponen untuk menghasilkan bahan perisa berdaging seperti ayam dan lembu. Walaupun L-Cystein terdapat dalam pelbagai jenis makanan, ia biasanya tidak disenaraikan sebagai bahan ramuan pada label kerana ia tidak dianggap sebagai penambah makanan tetapi sebagai bantuan dalam pemprosesan.

3. SUMBER L-CYSTEINE

Bahan aditif ini boleh dihasilkan melalui dua cara ; pertama secara sintetik iaitu daripada sumber bukan organik seperti petroleum atau kedua secara langsung daripada rambut manusia atau bulu haiwan spt ayam dan itik. Sumber yang kedua lebih murah dan mengandungi 8 peratus asid amino semulajadi cystein.

Dewasa ini hampir 80% daripada L cysteine yang digunakan diseluruh dunia diperolehi dari China dengan menggunakan rambut manusia dan bulu ayam. Rambut manusia kaya dengan dua sebatian asdi amino iaitu L cysteine dan L-tyrosine. Terdapat sebanyak 14% L cysteine di dalam rambut manusia. Didalam proses penghasilan L cysteine, keratin daripada rambut manusia diekstrak dengan menggunakan asid hidroklorik dan air. Selepas beberapa langkah tertentu, keratin bertukar menjadi L cysteine.

Cysteine juga boleh diperoleh secara semulajadi dalam makanan yang mengandungi sulfur seperti kuning telur, lada merah, bawang putih,bawang besar, brokoli dan taugeh. Pihak kerajaan Amerika dan Eropah percaya bahawa L-Cysteine yang bersumberkan rambut atau sebaliknya adalah selamat.

4.KAJIAN TENTANG L-CYSTEINE

Menurut Dr Meyer, individu yang bertanggungjawab mengenalpasti makanan Kosher bagi Persatuan Yahudi Ortodok di Amerika, terdapat banyak sumber yang boleh diproses semula daripada manusia dan cysteine adalah salah satu daripadanya. Kebiasaannya bahan ini dijumpai dalam pewarna yis. Justeru itu, pengguna Muslim dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dengan penggunaan bahan. Hal demikian kerana, Islam tidak membenarkan umatnya makan makanan yang berasal daripada tubuh badan manusia seperti rambut. Sebagaimana langkah berjaga-jaga yang diambil oleh pihak Amerika dengan mengkaji bahan ramuan tambahan dalam makanan seperti makanan kosher yang ditandakan huruf “U” diatas produk sebagai bukti bahawa makanan tersebut tidak mengandungi L-Cystein. Walaubagaimanapun, sehingga hari ini masih tiada standard yang berupaya mengenalpasti kehadiran L-Cystein dalam makanan.

Menurut Richard Ratcliffe, setiausaha Eksekutif Persatuan Bahan Tambah dan Ramuan Makanan British, “L-cysteine juga mungkin terdapat dalam sejumlah besar makanan, tetapi hanya sebahagian sahaja yang dinyatakan pada label. Dalam peraturan bahan aditif di Eropah mereka telah menetapkan syarat kepada para pengilang supaya menyenaraikan dan mengelaskan bahan aditif makanan contohnya pewarna. Tetapi, L-Cysteine tidak disenaraikan sebagai ‘bahan aditif makanan’ sebaliknya dianggap sebagai bahan ‘processing aid’. Dalam kes ini, pengilang makanan sendiri yang memutuskan samada mahu menyenaraikan atau tidak l-cysteine pada label dan keputusan ini bergantung kepada berapa banyak kandungan bahan yang digunakan. Maka sudah pasti para pengilang tidak akan akan menyatakan sumber l-cysteine yang digunakan samaada daripada rambut atau sebaliknya.

Menurut Profesor Derek Burke, Pengerusi Penasihat Makanan Baru dan Pemprosesan, proses kimia yang berlaku semasa penukaran bahan rambut kepada bahan aditif telah diketahui sejak beratus tahun dan ia bukanlah suatu proses yang mudah. Bagi sesetengah pengguna, penggunaan rambut dalam makanan dilihat sebagai amalan yang bersifat kanibal. Walaubagaimanapun, daripada sudut kesihatan cysteine ialah bahan antioksida badan yang paling berkesan. Ia berupaya memusnahkan toksik dalam badan yang dikatakan dapat mempercepatkan proses penuaan.

5. PANDANGAN ISLAM TENTANG L-CYSTEINE

Menurut hukum syarak, setiap bahagian manusia adalah haram dimakan oleh umat Islam. Manakala bulu bintang an sintetik adalah harus. Majlis Fatwa Kebangsaan telah menjelaskan Hukum Penggunaan Bulu Binatang Yang Halal Dimakan Sebagai Ramuan Makanan:

Penggunaan bulu daripada binatang yang halal untuk dijadikan sebagai bahan ramuan makanan atau untuk kegunaan yang lain, para fuqaha' bersepakat bahawa adalah jelas tentang halalnya penggunaan bulu sebagaimana yang disebut oleh Dr. Wahbah Zuhaili bahawa ijma' ulama' bersetuju tentang kesucian bulu yang diambil dari binatang yang halal dimakan dagingnya sama ada diambil selepas disembelih atau semasa hidupnya. Ijmak ulamak ini adalah berdasarkan kepada umum ayat Al-Quran Surah An-Nahl, ayat 80 tentang kesucian bulu binatang sama ada ianya diambil selepas disembelih atau semasa hidupnya untuk kegunaan manusia.

Oleh itu, kehadiran L-cysteine dalam makanan adalah meragukan@syubhah kerana besar kemungkinan diperolehi daripada rambut manusia. Memandangkan keadaan sedemikian pengguna Islam seharusnya perlu berhati-hati bila mereka memilih makanan di pasaran, terutamanaya makanan yang mungkin mengandungi L cysteine seperti pizza, roti, dan perisa makanan yang tidak manis. Ini kerana besar kemungkinan ianya diperolehi dari rambut manusia. Keadaan menjadi lebih rumit apabila bahan ini tidak disenaraikan sebagai bahan ramuan.

PASTIKAN MEMPUNYAI STATUS HALAL YANG SAH BARU BELI

Rujuk fatwa berkaitan : http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-penggunaan-bulu-binatang-yang-halal-dimakan-sebagai-ramuan-makanan

Sumber@credit to : http://pphm09.blogspot.com/2009/07/rambut-manusia-dalam-makanan.html

No comments: