Saturday, November 29, 2014

Azzumar -ayat 18

بسم الله الرحمن الرحيم
 Assalaamu Alaykum Wa Rahmatullaahi Wa Barakaatuh
 اللهم صل على محمد وآل محمد




Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna. .( azzumar  39:18)

الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ

Yang mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya
Iaitu menumpukan perhatian kepada Quran yang dibacakan kepadanya. Ia juga boleh jadi perkataan lain juga. Contohnya, dakwah dari pendakwah-pendakwah. Mereka akan mendengar dengan teliti dengan fikiran yang waras dan iman yang sedia. Hendaklah dia mendengar dengan fikiran yang kritis. Tidaklah dia hanya ikut sahaja tanpa usul periksa. Dia hendaklah berfikiran kritis. Tidaklah dia taqlid buta sahaja macam kebanyakan dari masyarakat Islam kita: apa sahaja kata dari ustaz, mereka akan terima. Kerana mereka sangka, ustaz itu tentulah betul. Tidak semestinya begitu.

 فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ

lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya;
maka selepas dia dengar, dia mengikuti apa yang terbaik dari kata-kata itu. Iaitu tentang tauhid, tentang perkara-perkara sunat dan tentang amalan-amalan fardhu. Termasuk juga dalam hal ini adalah tentang halal dan haram – dan banyak lagi perkara lain yang terdapat dalam Quran itu – Untuk mengetahuinya, kenalah kita membacanya dan memahaminya dengan belajar tafsir. Apabila kita sudah memahaminya, bukanlah kita setakat faham sahaja, tapi hendaklah kita mengamalkannya dalam kehidupan kita. Kita hendaklah mencuba sedaya upaya kita untuk mengamalkan perkara yang kita sudah tahu. Allah mengira mengikut usaha kita.
Makna kedua dari ayat ini, kita hendaklah memilih kata-kata yang baik dari segala kata-kata yang kita dengar. Kita akan banyak mendengar dari guru-guru tentang pelajaran agama. Ada yang masuk dalam suratkhabar, ada yang masuk dalam TV, ada yang ustaz mengajar di surau-surau dan masjid kawasan kita. Berbagai-bagai jenis ustaz dan guru yang ada dan kadang kala apa yang mereka ajar itu berlawanan antara satu sama lain. Ada yang benar dan mungkin ada yang tidak benar. Jadi, mana satu yang hendak kita ikut?
Kita faham bahawa masyarakat kita yang kurang ilmu agama akan mudah keliru. Kerana percanggahan pengajaran yang ada dalam kuliah ustaz-ustaz itu. Kita hendaklah pandai memilih yang terbaik dari semua ajaran-ajaran itu. Kalau benar kita terima, kalau tak benar, kita tolak. Untuk kita tahu manakah yang benar dan manakah yang salah, maka kita hendaklah menambah ilmu kita. Dan ilmu yang terbaik sekali adalah ilmu Quran dan Hadis sahih. Secara asasnya, kalau guru yang mengajar itu membaca dalil dari Quran dan Hadis sahih, maka itu boleh diterima. Tapi kalau mereka mengajar dengan mengambil dalil dari bukan Quran dan Hadis, maka kita kena berhati-hati.
Maka, inilah salah satu maksud ayat ini, iaitu kita hendaklah pandai memilih manakah kebenaran.
Yang kita takut adalah: masyarakat awam yang sampai tolak kesemua sekali. Mereka mungkin melihat ada percanggahan antara orang-orang agama itu dan mereka buat konklusi bahawa dalam Islam pun tidak sekata, maka mereka tolak semua. Ini adalah sesuatu yang amat bahaya sekali. Janganlah kita jadi begitu.
Satu lagi makna dari ayat ini adalah: mereka mendengar ayat-ayat Quran dan mencuba sedaya upaya untuk melakukan terbaik dalam mengikutinya.

 أُولَٰئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ

mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah
Perkataan yang baik itu adalah petunjuk dari Allah. Allah telah menyampaikannya kepada kita. Asalkan kita pandai memilihnya.

 وَأُولَٰئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ

dan mereka itulah orang-orang yang berakal waras.
Sekali lagi disebut tentang ulul albab. Mereka adalah orang-orang yang berfikiran waras, pandai, bijaksana. Yang pandai memilih manakah yang benar dan manakah yang salah. Mereka menapis perkataan orang lain dengan Quran dan Hadis yang sahih.

No comments: