Monday, July 27, 2015

Rusuk kiri bergetar

بسم الله الرحمن الرحيم Assalaamu Alaykum Wa Rahmatullaahi Wa Barakaatuh اللهم صل على محمد وآل محمد



by ustaz Emran Yusuf
Ada seorang lelaki bertanya : 'Ustaz, kenapa setiap kali apabila saya terpandang perempuan yang bertudung dan cantik maka rusuk kiri saya akan bergetar?
Ada apa-apa maknakah?
Aljawab ;
Itu tandanya anggota badan kita marah kerana tidak menundukkan pandangan. Boleh jadi juga itu petanda bahawa ajal kita sudah dekat, jadi banyak-banyaklah bertaubat.
Lagipun hanya lelaki yang tidak matang dan cetek pengalaman hidup akan terpedaya oleh kecantikan luaran. Lihatlah P. Ramlee dalam cerita "Musang Berjanggut" bagaimana beliau berjaya membezakan di antara perempuan dan betina melalui pengembaraan, ujian dan pengalaman.
Sabda Nabi salallahualaihiwassalam ;
مَا تَرَكْتُ بَعْدِى فِتْنَةً أَضَرَّ عَلَى الرِّجَالِ مِنَ النِّسَاءِ
“Aku tidak meninggalkan satu godaan pun yang lebih membahayakan para lelaki selain fitnah wanita.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Cantiknya wanita pada luaran itu mungkin kerana mahalnya baju yang dipakai, kadang-kadang kerana lamanya bersiap di depan cermin membuat ikatan tudung atau 'make-up' yang menghilangkan jerawat dan keburukan. Seterika baju mungkin sejam, cari pasangan tudung dan kain yang 'matching colour' pula sejam, tambah aksesori seperti shawl dan barang kemas pula sejam.
Namun saat dihabiskan untuk membaca alQuran? Mungkin cuma 15 minit, solat dan berdoa ? 10 minit. Mempelajari kewajipan agama ? Mungkin 30 minit...
Menyantuni orang tua, menolong ibubapa, adik-beradik dan kaum keluarga mungkin seminit-dua....Waktu lain dihabiskan kepada 'selfie' dan bergambar serta menjadi model syok sendiri....Itu belum lagi 'marathon' melayan filem Korea, Orang putih atau movie cinta dan drama bersiri....berjam-jam!
Itukah bakal pilihan hati? Gadis seperti itukah yang mampu menggegarkan rusuk kiri? Sungguh naif dan menyedihkan hati....
Nanti apabila telah bernikah barulah ketahuan bahawa rupa paras yang sering menggoda akan tamat tempohnya...Bahasa mudah, 'Expired'. Bangun awal pagi memasak sarapan untuk suami memerlukan kesabaran, bukan kecantikan. Membasuh baju dan pakaian kotor yang busuk serta menguruskan rumahtangga memerlukan ketabahan bukan kemahiran memetik gitar sambil menyanyikan lagu kun anta....
Menguruskan emosi seharian sebagai isteri memerlukan kekuatan jiwa, mengekalkan cinta dan kebahagiaan rumahtangga memerlukan kesabaran dan kefahaman tentang erti perkahwinan dan ketabahan hati. Ianya tak diperolehi daripada selfie, juga tak dapat dari asyik melayan 'movie' tetapi daripada pengalaman mengasuh adik-adik dan menolong keluarga dalam rumahtangga.
Petua memasukkan serai, bunga kantan dan daun kari dalam masakan bukan sekadar daripada buku resepi tetapi daripada pengalaman di dapur bersama ibu. Cara menyiang ikan, membuang perut ayam, menyukat nasi untuk dimasak semuanya datang dari pengalaman hidup bukannya buku.
Lelaki umumnya adalah bodoh apabila berdepan dengan wanita yang cantik. Nafsu kita akan menutupi akal sehingga pertimbangan kita menjadi terpesong. Lautan sanggup direnangi, gunung sanggup didaki, sedangkan hakikatnya kebahagiaan hidup kita bukanlah berada pada pelukan gadis jelita tetapi dalam dakapan ibu dan doanya pada kita.
Hati yang tenang, bebas daripada dosa, kehidupan yang berlandaskan ilmu, keputusan yang dibuat pastinya menguntungkan dunia dan akhirat....
Berhati-hatilah teman, janganlah terpedaya pada luaran.
Biarkan rusukmu bergetar tanda takut kepada Tuhan!

No comments: