Friday, October 28, 2016

Syeikh Syu'aib Ibn Muharram Al-Albani Al-Arna’uti

بسم الله الرحمن الرحيم Assalaamu Alaykum Wa Rahmatullaahi Wa Barakaatuh اللهم صل على محمد وآل محمد


Image may contain: 1 person, closeup

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguhnya ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. (Ali Imran : 185)
Salam takziah diucapkan buat ahli keluarga Syeikh Syuaib Al-Arnaut di atas pemergian beliau selepas solat Isyak semalam (waktu Jordan).(27/10/2016
Moga roh dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Al-Fatihah.
.........................
Syeikh Syu'aib Ibn Muharram Al-Albani Al-Arna’uti
Biodata Peribadi
Dilahirkan pada tahun 1928 M
Di Damsyik, Syiria.
Syu’aib ibn Muharram Al-Albani Al-Arna’uti adalah seorang ahli Hadith, pentahqiq manuskrip-manuskrip karya-karya Islam, dilahirkan di Damsyik (1928).
Biodata dan perjalanan menuntut Ilmu beliau:
As-Syeikh Syu’aib Al-Arna’ut dilahirkan di Bandar Damsyik pada tahun 1928, beliau dibesarkan dibawah bimbingan ibu bapa yang berpegang teguh kepada agama, dan beliau mempelajari ilmu-ilmu asas tentang Islam daripada kedua ibu bapanya, beliau menghafal sebahagian besar daripada Al-Quran.
Oleh kerana kemahuan yang begitu mendalam untuk memahami secara terperinci tentang makna-makna ayat al-Quran, dan menyingkap rahsianya, ia menjadi faktor yang membawa beliau mendalami Ilmu Bahasa Arab pada usia yang muda. Beliau telah melazimi para pendidik bertahun-tahun di masjid-masjid serta pusat pengajian yang lama, dengan tujuan menghadiri majlis-majlis pengajian bahasa dalam disiplin Ilmu yang berbeza seperti Nahu, Sorof, Adab, Balaghah dan lain-lain yang berkaitan (Bahasa).
Menuntut Ilmu:
Syeikh telah melazimi pada guru dan ulama yang terkenal (pakar) pada ketika itu dalam pengajian bahasa arab, antaranya, Syeikh Soleh Farfur dan Syeikh Arif Ad-Duji. Yang mana mereka berdua adalah murid kepada Al-Allamah As-Syam pada zamannya iaitu Syeikh Badruddin Al-Husaini-. Syeikh mempelajari -daripada dua orang gurunya ini- karya-karya yang masyhur di dalam bidang bahasa dan balaghah Arab, antaranya: Syarah Ibn ‘Aqil, (Kaafiah) oleh Ibn Hajib, (Al-Mufassal) oleh Al-Zamakhsyari, (Syuzur Az-Zahab) oleh Ibn Hisham, (Asrar Al-Balagah) & (Dalail Al-‘ijaz) oleh Al-Jurjani.
Antara guru Syeikh yang lain juga: Syeikh Sulaiman Al-Ghaawaji Al-Albani yang mengajar kepada murid-muridnya kitab (Al-‘Awamil) oleh Al-Barkawi –Mohon betulkan jika silap- dan (Al-Idzhar) oleh Athali dan kitab-kitab yang lain. Setelah menempuh pengajian bahasa arab dalam tempoh masa yang lama, Syeikh telah menukar arah pengajian dengan mempelajari Ilmu Fiqh Islami.
Syeikh telah melazimi ramai guru-guru untuk mempelajari kitab-kitab fiqh, dan tidak lain, kitab-kitab tersebut adalah daripada fiqh mazhab hanafi, seperti: (Maraqi Al-Falah) oleh Asy-Syabnablali, (Al-Ikhtiar) oleh Al-Muusili, (Al-Kitab) oleh Qaduri dan Hasyiah Ibn ‘Abidin. Beliau menghabiskan masa selama 7 Tahun yang lain –Selain tahun-tahun untuk mendalami bahasa Arab-, disamping itu, Syeikh mempelajari Ilmu Usul Fiqh, Tafsir Al-Quran, Mustalah Al-Hadith dan buku-buku berkaitan Akhlak, dan pada ketika itu, umur Syeikh telah mencecah 30 tahun.
Pekerjaan Syeikh dalam Mentahqiq:
-Semasa Syeikh dalam pengajian Fiqh- Syeikh menyedari bahawa ada satu kekurangan yang jelas pada guru-gurunya dan para masyayikh se-zaman dengan mereka iaitu membezakan kesahihan hadith dan kedhaifannya. Perkara ini menyedarkan Syeikh akan peri penting mengkhususkan diri dalam Ilmu hadith untuk memudahkan beliau mentahqiq (Proses Saringan dan Tapisan) kitab-kitabnya dan kemudian mengenalpasti –hadith-hadith- samaada Sahih mahupun Dhaif. Syeikh bertekad dengan penuh keazaman untuk mendalami ilmu yang penting dan rumit ini –Tahqiq-, Beliau meninggalkan kerjaya sebagai guru bahasa arab yang telah diceburi sejak 1955M semata-mata kerana Ilmu Hadith. Dan Beliau telah menghabiskan masanya untuk berkecimpung dalam bidang pentahqiqan Turath Al-Arabi Al-Islami.
Syeikh memulakan kerjaya beliau –Sebagai pentahqiq- di Al-Maktab Al-Islami di Damsyiq pada tahun 1958M, yang mana Syeikh bertugas sebagai ketua jabatan Tahqiq dan Tashih selama 20 tahun. Syeikh telah mentahqiq dan menyelia kerja-kerja mentahqiq lebih daripada 70 jilid kitab yang terdiri daripada kita-kitab utama dalam Turath dari pelbagai disiplin Ilmu.
Kemudian Syeikh memulakan perpindahan beliau untuk berkhidmat di Muassasah Ar-Risalah yang beribu pejabat di Amman tahun 1982M, Syeikh mengetuai daripada awal Jabatan Tahqiq Turath yang berada di bawah Muassasah Ar-Risalah, Bahkan, perkhidmatan Seyikh di sini lebih menyerlah dalam lebih lama, dan boleh dikatakan: Pencapaian Syeikh yang penting dalam Tahqiq Turath telah berjaya dilakukan di Muassasah ini yang mana ia dikira sebagai perintis kepada penyebaran Turath Arabi Al-Islami.
Moga-moga apa yang ditulis oleh Syeikh Bassyar Awwad di dalam muqaddimahnya kepada kitab Siyar ‘Alam An-Nubala’ dalam membahaskan tentang persoalan pentahqiqan kitab, menjelaskan sudut-sudut penting tabiat kerja yang dicapai oleh Syeikh Al-Arna’ut dalam Jabatan Tahqiq Turath di Muassasah Ar-Risalah dengan berkata:
”Kemudian dia –Pemilik Muassasah Ar-Risalah- mencapai satu tahap yang membanggakan apabila beliau melantik seseorang untuk menyelia proses penebitan kitab dan tahqiq, seorang yang Alim, merendah diri, tidak suka akan kemasyhuran, berkemampuan untuk menyelesai perkara yang rumit, berkebolehan dalam menjelaskan kekusutan, bijak dalam memudahkan perkara yang susah, beliau adalah Ustaz Al-Muhaddith As-Syeikh Syu’aib Al-Arna’ut, dan aku mengenali hal Orang ‘Alim ini dalam perjalanan yang agung –Perjalanan Ilmu-, beliau amat memberi kesan apabila beliau mensyaratkan supaya proses tahqiq dijalankan dengan kaedah yang terbaik, dan beliau pada hari ini seumpama Kuda dalam Medan yang penuh bahaya ini yang bisa melukakan tubuh badan.”
Hasil Tahqiq Beliau:
Di Al-Maktab Al-Islami
Syarhu As-Sunnah oleh Al-Baghawi, 16 Jilid
Raudhah At-Talibin oleh An-Nawawi, bersama Syeikh Abdul Qader Al-Arna’ut, 12 Jilid
Muhazzab Al-Aghani oleh Ibn Manzur, 12 Jilid
Al-Mubdi’ fi Syarhu Al-Muqni’ oleh Ibn Muflih Al-Hanbali, 10 Jilid
Zaadul Masir fi Ilmu At-Tafsir oleh Ibn Jauzi, bersama Syeikh Abdul Qader Al-Arna’ut, 9 Jilid
Di Muassasah Ar-Risalah:
Siyar ‘Alam An-Nubala’ oleh Az-Zahabi, 25 Jilid
Sunan At-Tirmizi oleh At-Tirmizi, 6 Jilid
Sunan An-Nasaie oleh An-Nasaie, 12 Jilid
Sunan Darulqutni oleh Darulqutni, 6 Jilid
Musnad Imam Ahmad ibn Hanbal, 60 Jilid
Tarikh Al-Islam oleh Az-Zahabi bersama Bassyar Awwad.
Artikel Asal: Syeikh Salman Abdul Fattah Abu Ghuddah
Penterjemah: Abu Abdullah.

No comments: