Tuesday, June 22, 2021

Mukmin Dan Musibah



Dalam hidup ini kita akan melalui situasi gembira dan berduka.

Gembira apabila kita dikurniakan nikmat dan berduka apabila kita ditimpa kesusahan.

Sesungguhnya nikmat yang diberi bertujuan untuk kita syukuri dan musibah yang menimpa untuk kita bersabar.

Sesungguhnya apa juga bentuk yang kita terima dan lalui, tanpa kita ketahui ada hikmah dan kebaikan buat kita. Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ صُهَيْبٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Daripada Shuhaib RA ia berkata, Rasulullah SAW bersabda : “Amat menakjubkan urusan seorang Mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang Mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang mengembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.” (HR Muslim No: 5318) Status: Hadis Sahih

Mukmin yang dikagumi ialah yang sentiasa bersyukur dengan nikmat dan bersabar serta redha dengan setiap musibah yang berlaku ke atas dirinya. Contoh musibah Covid 19 yang membuatkan setiap kita terpaksa kuarantin di dalam rumah dalam tempoh yang agak lama. Tidak kurang yang menghadapi kekangan kewangan, malah mungkin juga kehilangan sumber pendapatan.

Ketahuilah setiap yang berlaku ada kebaikan untuk kita. Dengan kesabaran kita dapat meningkatkan kedudukan kita di sisi Allah serta dianugerahkan pahala tanpa batas.

Seorang yang tidak beriman, hatinya sentiasa keluh kesah, jiwanya selalu meronta dan terseksa apabila ditimpa musibah seperti wabak Covid 19 ini. Hati dipenuhi perasaan dukacita dan kemarahan. Tidak redha malah cuba menyalahkan orang lain. Malah kadang kala  kita lupa bahawa sebelum ini telah banyak nikmat yang dianugerahkan kepada kita yang tidak disyukuri.

Jadilah kita orang yang sentiasa bersyukur dengan nikmat serta berusaha menjadi orang yang redha dan bersabar dengan setiap musibah dan kesusahan yang dialami.

Jadilah orang yang sentiasa bersikap positif dan bersabar di atas segala ujian yang dihadapi.

Jauhi sifat kecewa dan putus asa apabila menghadapi ujian dan musibah. Elakkan bertindak tanpa pertimbangan iman dan akhlak terpuji.

#SuburkanAmalanMantapkanKeperibadian
https://t.me/kapsul_tazkirah

No comments: