Thursday, June 24, 2021

Mukmin Umpama Pohon Muda



Sebagai manusia biasa, ada ketika-ketikanya kita melalui pelbagai ujian dan cabaran.

Jadilah kita umpama pohon muda yang elastic, walau berhadapan dengan tiupan angin, namun ia mampu bertahan dan tetap gagah. Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَثَلُ الْمُؤْمِنِ كَمَثَلِ خَامَةِ الزَّرْعِ يَفِيءُ وَرَقُهُ مِنْ حَيْثُ أَتَتْهَا الرِّيحُ تُكَفِّئُهَا فَإِذَا سَكَنَتْ اعْتَدَلَتْ وَكَذَلِكَ الْمُؤْمِنُ يُكَفَّأُ بِالْبَلَاءِ وَمَثَلُ الْكَافِرِ كَمَثَلِ الْأَرْزَةِ صَمَّاءَ مُعْتَدِلَةً حَتَّى يَقْصِمَهَا اللَّهُ إِذَا شَاءَ

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Perumpamaan orang mukmin adalah ibarat sebatang tanaman yang muda lembut yang melambai-lambai daunnya, bergoyang apabila ditiup angin. Apabila berhenti angin daripada bertiup maka dia berdiri tegak. Demikian keadaan seorang mukmin, kadang-kadang dicondongkan (sentiasa diuji) dengan bala atau ujian. Sebaliknya perumpamaan orang kafir bagaikan pohon kayu jati yang keras yang berdiri tegak (tidak bergerak-gerak) hingga Allah (dengan mudah) mematahkannya (membinasakannya) bila  Allah menghendakinya." (HR Bukhari No: 6912) Status: Hadis Sahih.

Setiap Mukmin akan melalui pelbagai ujian dan dugaan dalam hidup. Namun jadilah kita umpama sepohon pokok muda lembut tapi liat (elastic), apabila ditiup angin menyebabkan ia condong kekanan dan kekiri dan mudah tegak Kembali (tidak mudah patah). Hal ini bermaksud  keadaan seorang mukmin yang sentiasa melalui ujian dan cubaan, namun ia tahan diuji tidak akan patah malah akan berdiri tegak kembali selepas ujian tersebut.

Perbandingan orang yang berbuat dosa atau kafir seperti pokok kayu jati yang keras dan berdiri tegak, apabila ditiup angin akan mudah patah atau tumbang. Berterusan melakukan kemungkaran tanpa rasa bersalah hingga Allah mendatangkan hukuman kepadanya sama ada di dunia mahupun di akhirat. Samalah juga dengan mereka yang apabila diuji, dia cepat putus asa dan kecewa dan tidak redha dengan apa yang berlaku.

Sebagai seorang mukmin, setiap kita mesti melalui ujian dan cabaran dengan sabar dan redha di atas ketetapan qada dan qadar. Dalam masa melalui ujian dan bencana inilah dapat diketahui kekuatan, keyakinan dan kesabaran seseorang kepada Allah.

Ujian yang dilalui seperti kesusahan semasa Wabak COVID-19, terpaksa mengikuti pelbagai SOP dan peraturan seperti dikuarantin, bagi frontliner pula terpaksa berdepan dengan risiko yang tinggi. Ada juga yang terputus pendapatan kerana terpaksa tidak bekerja dan lain-lain,  kesemua  kepayahan, kesempitan, kelaparan dan sebagainya merupakan satu proses pembersihan dosanya serta mengangkat darjat seseorang ketempat yang lebih tinggi. Hadis Nabi SAW:

مَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ مِنْ شَوْكَةٍ فَمَا فَوْقَهَا إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَةً أَوْ حَطَّ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةً

"Tidak ada satupun musibah (kesusahan) yang menimpa seorang muslim berupa duri atau yang semisalnya, melainkan dengannya Allah akan mengangkat darjatnya atau menghapus kesalahannya." (Sahih Muslim No: 4665)

Jadilah seperti pohon muda yang tidak patah atau tumbang apabila ditiup angin, malah lebih kuat dan cekal. Jadilah mukmin yang tahan diuji, sabar melalui ujian dan musibah ini. Moga musibah virus COVID-19 ini menjadikan kita orang yang lebih kental dan kuat keimanannya.

#SuburkanAmalanMantapkanKeperibadian
https://t.me/kapsul_tazkirah

No comments: