Thursday, August 19, 2021

Amalan Sedekah



Sedekah  umumnya merangkumi sama ada yang sunat mahupun yang fardhu. Jika yang fardhu, ia dikenali dengan zakat.

Berkenaan dengan sedekah jariah pula ia memberi maksud mengalir kerana sedekah tersebut bersifat kekal dan manfaatnya boleh digunakan walaupun penyumbangnya sudah meninggal dunia.

Dalam al-Qamus al-Fiqhi (1/318) sedekah jariah juga dikenali sebagai wakaf berdasarkan beberapa hadith Nabi SAW.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ ‏

“Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya."  (HR Muslim No: 1631) 

Imam Nawawi menjelaskan hadis ini bahawa amalan si mati akan terputus dengan sebab kematiannya dan terputus juga pembaharuan pahala baginya kecuali dengan tiga amalan ini. Ini kerana ia menjadi penyebabnya. Anak yang soleh daripada usahanya. Manakala ilmu yang ditinggalkannya adalah dengan sebab pengajaran atau karangannya (hasil tulisan seperti buku, artikel dan sebagainya yang ditinggalkan). Begitu juga sedekah jariyah iaitu wakaf, Kesemua ini pahalanya berterusan mengalir sekalipun seseorang telah meninggal dunia.

Antara bentuk Sedekah Jariyah seperti mana hadis Rasulullah SAW daripada Abu Hurairah R.A:

إِنَّ مِمَّا يَلْحَقُ الْمُؤْمِنَ مِنْ عَمَلِهِ وَحَسَنَاتِهِ بَعْدَ مَوْتِهِ عِلْمًا عَلَّمَهُ وَنَشَرَهُ وَوَلَدًا صَالِحًا تَرَكَهُ وَمُصْحَفًا وَرَّثَهُ أَوْ مَسْجِدًا بَنَاهُ أَوْ بَيْتًا لِابْنِ السَّبِيلِ بَنَاهُ أَوْ نَهْرًا أَجْرَاهُ أَوْ صَدَقَةً أَخْرَجَهَا مِنْ مَالِهِ فِي صِحَّتِهِ وَحَيَاتِهِ يَلْحَقُهُ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya yang didapati oleh orang yang beriman dari amalan dan kebaikan yang dia lakukan setelah dia mati adalah: Ilmu yang dia ajarkan dan disebarkan, anak soleh yang dia tinggalkan, Mushaf al-Qur’an yang dia wariskan, Masjid yang dibina, rumah bagi ibnu sabil (musafir yang terputus perjalanan) yang dia bina, sungai yang dia alirkan, sedekah yang dia keluarkan dari harta ketika dia sihat dan hidup. Semua itu akan dihubungkan dengannya setelah dia mati.” (HR Ibn Majah No: 242) Status: Hadis Hasan.

Imam al-Suyuti dalam kitabnya al-Dibaj ‘ala Sahih Muslim ibn al-Hajjaj (4/227) menyebut antara amalan-amalan bermanfaat bagi seseorang setelah kematiannya dalam satu syair:

اِذَا مَاتَ ابْنُ ادَمَ يَجْرِي               عَلَيْهِ مِنْ فِعَالٍ غَيْرِ عَشْرٍ
عُلُوْمٍ بَثَّهَا وَدُعَاءِ نَجْلٍ                 وَغَرْسِ النَّخْلِ وَالصَّدَقَاتُ تَجْرِي
وَرَاثَةِ مُصْحَفٍ وَرِبَاطِ ثَغْرٍ            وَحَفْرِ الْبِئْرِ أَوْ إِجْرَاءِ نَهْرٍ
وَبَيْتٍ لْلْغَرِيْبِ بَنَاهُ يَأْوِى             إلِيْهِ أَوْ بِنَاءِ مَحَلِّ ذِكْرٍ

“Apabila anak Adam meninggal dunia, maka mengalirlah kepadanya sepuluh perkara;, Ilmu yang disebarkannya, doa anak yang soleh, pohon kurma yang ditanamnya serta sedekahnya yang mengalir, Mushaf yang diwariskan dan menjaga perbatasan sempadan, Menggali telaga, mengalirkan sungai, Rumah untuk musafir yang dibangunkannya atau mendirikan tempat ibadah.”

#SuburkanAmalanMantapkanKeperibadian

https://t.me/kapsul_tazkirah

No comments: